Saturday, 5 May 2012

Chong Wei Kuasai Terbuka Malaysia



PEMAIN No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan rakan senegara, Chong Wei Feng pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Bandaraya Johor Bahru semalam.

Chong Wei mengambil masa selama 50 minit untuk menewaskan pemain pilihan kelapan kejohanan itu yang menunjukkan aksi bertenaga terutama pada set kedua sebelum berkesudahan 21-18, 15-21, 21-8.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Chong Wei akan berdepan Tommy Sugiarto yang merupakan anak pemain legenda badminton Indonesia, Icuk Sugiarto yang berjaya menewaskan V. Sourabh dari India 21-17, 21-14.

Chong Wei ketika ditemui memuji permainan Wei Feng yang menunjukkan peningkatan termasuk mengawal permainan ketika bertemu lawan lebih senior.

"Selaku pemain perseorangan keempat negara, dia menunjukkan permainan yang memberangsangkan dan pemilihannya ke pusingan akhir Piala Thomas 2012 di Wuhan, China bermula 20 Mei ini adalah tepat," katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir turut diisi pemain negara, Muhammad Hafiz Hashim apabila membenam cabaran pemain India, H. S. Prannoy 21-14, 22-20.

Pemain pilihan keenam itu akan bertemu Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia yang berjaya menundukkan pemain Jepun, Takuma Ueda 21-16, 22-24, 21-15.

Dalam pada itu, slot separuh akhir beregu lelaki menyaksikan penguasaan pemain negara iaitu pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bertemu Mohd. Zakri Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari manakala Gan Teik Chai-Ong Soon Hock bertemu Chooi Kah Ming-Ow Yao Han.

Beregu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut cemerlang apabila layak ke separuh akhir untuk bertemu pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Yui Miyauchi manakala satu lagi slot turut diisi pasangan negara, Goh Liu Ying-Lim Loo Yin yang akan bertemu Shinta Mulia Sari-Yao Lei dari Singapura.

Turut mara ke separuh akhir adalah pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan rakan senegara, Ong Jian Guo-Lim Yin Loo 21-14,23-21 sekali gus menjadi wakil tunggal dalam acara beregu campuran.

Mereka akan bertemu pasangan Riky Widianto-Puspita Richi Dili dari Indonesia.

-Kosmo

Komen Anda

0 Responses to "Chong Wei Kuasai Terbuka Malaysia"