Sunday, 27 May 2012

Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam keras tindakan segelintir pihak yang melakukan provokasi melampau dan keganasan dengan membaling batu, telur dan botol air ke arah hadirin dalam ceramah yang dianjurkan oleh PKR di perkarangan pangsapuri di Lembah Pantai semalam sehingga beberapa orang penonton tercedera. Ceramah itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Nurul Izzah Anwar, YB Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

DPPWP merasa kecewa kerana masih ada rakyat yang bersikap tidak bertamadun dengan menolak kebenaran melalui maklumat yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat. Mereka yang seperti ini tidak ubah seperti ‘haiwan' yang tidak mampu menggunakan akal untuk berfikir sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menggagalkan ceramah tersebut.

Apa yang lebih dikesali adalah gangguan tersebut berlaku di dalam kawasan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. DPPWP melihat beliau telah gagal dalam memastikan keselamatan terhadap orang awam dalam program yang diadakan di dalam kawasannya.

Insiden ini juga memperlihatkan seolah-olah ada pihak merasa amat cemas dengan kebangkitan rakyat dan gerun mendengar pendedahan demi pendedahan mengenai skandal pemimpin-pemimpin UMNO yang semakin terbongkar. Mungkin mereka ini tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka telah ditolak oleh rakyat sehingga terpaksa melakukan apa sahaja demi memastikan penerangan dan maklumat tidak sampai kepada rakyat, hatta terpaksa mencederakan orang awam.

Apa yang membimbangkan adalah insiden keganasan seperti menyimbah cat merah, melempar bom petrol, membaling batu ke arah kenderaan pemimpin PR menghalang dan memukul orang ramai, mengugut dan lain-lain kerap berlaku akhir-akhir ini. DPPWP risau jika keganasan terhadap rakyat menjadi budaya yang dicipta menjelang PRU ke 13 sebagai strategi terdesak pihak tertentu.

Untuk itu, DPPWP mendesak kerajaan membuat siasatan lanjut terhadap insiden ini dan mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan ini perlu diheret ke mahkamah. DPPWP mahukan jaminan keselamatan terhadap rakyat supaya insiden serupa tidak berulang di masa akan datang dan hak rakyat untuk menikmati kebebasan berhimpun, dan mendapat maklumat tidak terhalang.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Komen Anda

0 Responses to "Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13"