Sunday, 20 May 2012

BN Terus Kukuh Di Sabah?

Sokongan rakyat terutamanya di Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) masih kukuh dan mereka akan terus memberi mandat kepada BN untuk kembali menerajui pucuk pimpinan negara.

Ketua Pemuda Umno Keningau, Azman Hj Ruslan berkata, keyakinan tersebut adalah berasaskan kepada banyak faktor yang begitu jelas dapat dilihat dalam scenario politik semasa di Negara ini.

“Kerajaan BN-UMNO mempunyai halatuju dan agenda perjuangan yang jelas, relevan, matang, progresif, kompetitif, kondusif dan berinovatif untuk membawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini ke tahap kemajuan yang lebih tinggi, seiring dengan tuntutan semasa.

“Konsep dan semangat kerjasama serta semangat setiakawan yang dipelopori dan dipraktikkan oleh anggota komponen BN yang diterajui UMNO sejak dari dulu hingga sekarang sangat kondusif untuk diwarisi generasi akan datang di negara ini.

“Kerajaan BN-UMNO juga telahpun membuktikan keupayaannya melaksanakan agenda pembangunan negara, terutama sekali mengangkat martabat masyarakat Bumiputera, khususnya di Sabah,” jelas beliau.

Azman berkata, kerajaan BN-UMNO sangat mementingkan soal perpaduan serta keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini dan ini dapat disaksikan melalui amalan dan pendekatan politik sederhana yang ia praktikkan.

“Dengan kata lain, BN-UMNO sentiasa mendidik rakyat supaya mengamalkan cara berpolitik yang berhemah, dan bukannya mengamalkan cara berpolitik bersifat anarkisme atau terlalu ekstrem yang boleh menimbulkan ketegangan,” jelas beliau.

Sementara itu, Azman berkata, perhimpunan ala-anarkisme Bersih 3:0 baru-baru ini memberi satu peluang kepada rakyat untuk merenung jauh ke hadapan, mengenai nasib dan masa depan generasi akan datang.

“Bersih 3.0 membayangkan satu senario atau situasi yang amat menakutkan sekiranya negara ini jatuh ke tangan golongan yang cuba mempelopori fahaman politik anarkisme, iaitu golongan yang percaya bahawa kerajaan tidak diperlukan dan harus dihapuskan.

“Kita juga dapat perhatikan bahawa pendekatan politik yang diamalkan oleh pihak pembangkang itu lebih bersifat populis, malah stail politik pembangkang itu lebih bersifat ‘mi segera’yang sedap semasa ia masih panas,” jelas beliau lagi.

Politik pembangkang, katanya, bertentangan dengan budaya hidup yang selama ini telah melahirkan masyarakat dan generasi yang bersopan santun, berbudi bahasa serta menghormati keluhuran undang-undang dan perlembagaan negara.

“Sikap pembangkang juga seolah-olah mahu mengajar generasi muda supaya tidak mengambil peduli soal sensitiviti masyarakat majmuk yang selama ini adalah tunjang kepada keamanan dan kestabilan politik serta ekonomi yang kita nikmati selama ini.

“Inilah yang hendak kita dan mesti dipertahankan dan jangan sekali-kali kita biarkan pembangkang musnahkan aset negara yang paling berharga ini,” jelas beliau.

Oleh : ROZIE JUMAT (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "BN Terus Kukuh Di Sabah?"