Wednesday, 2 May 2012

BN akan kekal berkuasa tetapi Najib...

Persempadanan kawasan pilihanraya yang sekian lama memberi kelebihan jumlah kerusi kepada BN di Sabah dan Sarawak, BN secara keseluruhannya masih berpeluang untuk mengekalkan kuasa sebagai pemerintah selepas PRU13. Tetapi keadaan akan menjadi status-quo seperti yang kita ada hari ini iaitu BN akan gagal memperolehi majoriti 2/3 seperti dahulu tetapi sekadar cukup bagi membentuk kerajaan pusat. Malah, jika dilihat faktor Melayu, BN berpeluang merampas Kedah dengan majoriti mudah tetapi mampu kehilangan Negeri Sembilan dan Perak kepada Pakatan di samping kehilangan beberapa kerusi bandar di Melaka.

Pakatan memerlukan ‘Semangat Reformasi tahun 1999’ jika mahu menawan Putrajaya dalam PRU13. Namun begitu, amat mustahil dengan masa yang ada bagi merealisasikan impian itu tetapi boleh diusahakan. Buat masa ini, Pakatan tidak perlu gusar mengenai undi kaum Cina dan India tetapi harus menumpukan undi kaum Melayu. Saya pernah ingat lagi ketika 1999, jentera yang berkesan bagi mendapat sokongan orang Melayu ketika itu apabila setiap anak-anak muda dan warga bandaraya KL pulang berkempen pada sanak saudara sendiri dan di samping mengedarkan risalah-risalah bahan kempen yang dicetak melalui laman-laman web reformasi seperti Mahazalim, Reformasi Nasional (RN), Tranungkite dan banyak lagi. Saya yakin jika penyokong ataupun mereka yang bersimpati dengan Pakatan lakukan usaha sebegini dalam PRU13,Pakatan mampu berpeluang berkuasa di Putrajaya dengan majoriti mudah.

Walaubagaimanapun, berita amatlah buruk jika jentera BN dibawah Najib gagal menduduki majoriti 2/3 kerusi terutamanya kepada Najib sendiri. Penulis percaya nasib Najib akan sama seperti Tun Abdullah yang akan dipaksa turun melalui tekanan dalaman UMNO sendiri bagi memberikan peluang kepada Timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga percaya Tun Mahathir sendiri (sekiranya umur lebih panjang dari sekarang) akan memulakan siri konspirasi melemahkan Najib sepertimana beliau lakukan pada Tun Abdullah dahulu. Dalam politik macam-macam boleh berlaku, Tun Mahathir juga Melayu sebab menurut beliau Melayu mudah lupa dan Mahathir akan turut melupakan jasa Tun Abdul Razak yang pernah membawanya masuk semula dalam UMNO dan memberi peluang kepadanya. Maaflah saya, saya berkata demikian sebab Tun Mahathir pada hari ini dalam banyak perkara pun sudah lupa.

Pakatan boleh merancang untuk berkuasa selepas PRU14 dan memperbaiki rank sesama pemimpin Pakatan dan mencapai kesefahaman yang lebih baik lagi di negeri-negeri yang diperintah. Bagi penulis, jika Muhyiddin menjadi PM menggantikan Najib, itu adalah berita baik kepada Pakatan kerana ramai melihat Muhyiddin kurang berkaliber jika dibandingkan dengan Najib. Hanya bagi Najib, beliau hanya malang disebabkan banyak bercakap (berjanji) tetapi gagal mendidik jeneral-jeneral beliau sendiri mengenai apakah transformasi yang ingin dibawanya pada Malaysia. Apa yang berlaku hari ini adalah kegagalan Najib mendidik mereka yang menyebabkan mereka terus membuat kesilapan bagi pihak Najib.

Untuk Pakatan, struktur perjuangan mereka perlu diperbaiki termasuklah memperkenalkan kabinet bayangan jika mahu menjadi pembangkang yang kuat. Dan yang lebih penting ialah mengeluarkan kepompong Pakatan daripada dianggap oleh rakyat sebagai ‘alat’ Anwar Ibrahim. Pakatan bukan sahaja perlu bangga dengan Buku Jingganya tetapi untuk memenangi PRU14, mereka sudah sediakan pelan kecemasan iaitu pelan Pakatan Rakyat tanpa Anwar Ibrahim.

.......

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak.Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Komen Anda

0 Responses to "BN akan kekal berkuasa tetapi Najib..."