Friday, 25 May 2012

Bersih bersedia untuk lawan saman Putrajaya

Pemimpin Bersih 2.0 hari ini berkata ia bersedia untuk membuat pembelaan dalam satu kes yang difailkan kerajaan persekutuaan, dan sedang mengumpul dana khas untuk membiayai kos undang-undang.

Kerajaan persekutuan telah menfailkan saman terhadap jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 untuk kerosakan yang dikatakan berjumlah RM122,000 yang ditanggung semasa perhimpunan yang dianjur oleh gerakan reformasi pilihan raya pada 28 April.

Sepuluh pemimpin Bersih, yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan, merupakan pihak pertama yang didakwa untuk kerosakan di bawah Akta Perhimpunan Aman, kurang dari sebulan selepas perlaksanaan undang-undang baru ini yang bertujuan untuk membenarkan perhimpunan awam “selari dengan norma antarabangsa”.

“Kita sudah sedia untuk membela kes ini.

“Kita telah jumpa banyak peguam yang bersedia untuk mengambil kes kita,” Ambiga memberitahu para wartawan dalam satu sidang akhbar di luar rumahnya.

Pengerusi bersama Bersih itu berkata para penyokong serta jirannya telah pun mula mengumpul dana, dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana “memberi sokongan untuk apa yang bakal dihadapi kita”.

Tokoh sasterawan negara Datuk A. Samad Said, yang juga hadir, menekankan bahawa para penyokong tidak patut menderma duit sehingga satu akaun bank khas telah ditubuhkan.

“Kita akan menjawab tuduhan di mahkamah,” beliau memberitahu wartawan.

Ambiga juga berkata bahawa hanya dua dari sepuluh ahli jawatankuasa pemandu Bersih telah disampaikan writ dan pernyataan tuntutan.

“Hanya saya dan Maria (Chin Abdullah) telah disampaikan dengan surat itu. Lapan defendan yang lain tidak (disampaikan writ),” beliau berkata.

Kedua-dua pemimpin itu berkata pelan Bersih 2.0 yang lebih terperinci lagi akan diumumkan minggu depan.

Satu salinan writ saman yang telah dihantar kepada The Malaysian Insider kelmarin menyatakan bahawa kerajaan sedang menyaman Bersih di bawah Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman, di mana penganjur mesti “memastikan bahawa perhimpunan tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan harta benda atau alam sekitar.”

“Plaintif mendakwa bahawa defendan telah gagal melaksanakan tugas statutori mereka apabila perhimpunan itu hilang kawalan dan bertukar menjadi rusuhan, menyebabkan kerosakan kepada kenderaan yang dimiliki plaintif,” writ itu berkata.

Pernyataan tuntutan itu menyenaraikan 15 kenderaan, yang kebanyakannya dimiliki pihak polis, yang perlu diperbaiki dengan kos sebanyak RM122,000.

Kerajaan juga menuntut ganti rugi umum, faedah dan pengisytiharan bahawa Bersih telah melanggar Seksyen 6(2)(g).

Tindakan mahkamah ini datang selepas pemimpin de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan presiden PKR Azmin Ali and ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin telah dituduh semalam di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berkata di Parlimen pada tahun lepas bahawa undang-undang ini adalah “revolutionary” dan akan membenarkan rakyat menyertai perhimpunan awam “selari dengan norma antarabangsa”.

Kes ini akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Prasad Sandosham Abraham pada 13 Jun.

Perhimpunan pada 28 April, yang melihatkan berpuluh-puluh ribu orang berkumpul di enam lokasi yang berbeza sebelum menuju ke Dataran Merdeka, aman sehingga jam 2.30 petang apabila Ambiga menyuruh orang ramai bersurai.

Tetapi pengumumannya tidak didengar oleh kebanyakan orang yang masih berlegar dekat dataran bersejarah yang mahkamah telah tidak membenarkan orang awam masuk.

Sedikit sebelum jam 3 petang, ada segelintir para peserta yang telah merempuh benteng di sekeliling Dataran Merdeka, mendorong polis untuk melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan para peserta.

Polis kemudian mengejar para peserta dalam keadaan huru-hara yang melihatkan keganasan dilakukan oleh kedua-dua pihak selama empat jam.

Berpuluh-puluh para peserta mendakwa bahawa mereka telah diserang oleh kumpulan-kumpulan yang mempunyai lebih dari sepuluh anggota polis pada suatu masa dan bukti visual kelihatan seperti menyokong dakwaan mereka. Tetapi pihak polis juga merujuk kepada keganasan daripada para peserta yang juga telah menyerang sebuah kereta polis.

Kereta polis itu kemudian melanggar satu bangunan sebelum para peserta menterbalikkan kereta itu di sisinya.

-TMI

Komen Anda

0 Responses to "Bersih bersedia untuk lawan saman Putrajaya"