Thursday, 10 May 2012

Bagaimana ucapan pimpinan di UMNO 66 tahun?

Bagi seorang aktivis politik, tarikh adalah penting untuk diingati kerana ia menandakan peristiwa-peristiwa yang membangkitkan jiwa para pejuangnya untuk terus kekal berjuang. Tarikh paling utama ialah penubuhannya kerana ia mengingatkan pewarisnya mengingati pahit maung yang dilalui oleh sesebuah perjuangan politik sepanjang keberadaannya.

Bagi mereka yang mempelajari sejarah tanahair tahun 1946 adalah tarikh yang mereka perlu hafal kerana tarikh itu adalah tarikh penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ringkasnya PEKEMBAR.

4 April hingga 11 Mei 1946 adalah hari-hari yang telah membawa kepada lahirnya parti Melayu yang menggabungkan 41 Pertubuhan Melayu seluruh negara. Signifikan tarikh ini juga adalah kerana cetusan membantah Malayan Union tajaan British oleh orang Melayu apabila Malayan Union akan memberikan kuasa yang lebih besar kepada British dan Raja Melayu akan hilang kuasa politiknya. Orang Melayu bangkit dan penubuhan PEKEMBAR (UMNO, Bahasa Inggeris), mengiringi kebangkitan itu.

Kebangkitan lebih awal

UMNO menjadi alat orang-orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan ketika itu di mana British telah kelihatan bersedia untuk membebaskan tanahair menurut Perjanjian Atlantik pada tahun 1941. Namun kita tidak boleh nafikan pada tahun 1945 satu lagi pertubuhan Melayu yang lebih awal menuntut kemerdekaan ialah dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM pimpinan Mohktarudin Laso, Pak Sako dan apabila Kesatuan Melayu Muda dipimpin oleh Dr.Burhanudin Al Helmi, beliau turut menjadi antara pemimpin kanan parti tersebut.

Lebih awal dari itu tahun 1938, Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawah Ibrahim Yaakob telahpun meniupkan semangat kemerdekaan dari penjajah British, bezanya ialah kemerdekaan yang dilaungkan ialah Melayu Raya yang mencangkupi kebebasan Indonesia. Sebahagian sejarah kebangkitan kemerdekaan yang lebih awal jarang sekali ditonjolkan kerana sebahagian besar dari tokoh dan pemukanya adalah "tidak mesra British" manakala sejarah UMNO memang dikenali sebagai lebih "mesra British"

UMNO terancam

Setelah meletakkan dirinya sebagai mewakili orang Melayu menuntut kemerdekaan dan diberi kepercayaan untuk memerintah kerajaan sejak PRU 1 pra Merdeka (1959), kini kedudukannya tidaklah berapa selesa. Hasil kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kepada sebuah kerajaan yang lebih Telus dan Adil serta Bertanggungjawab, UMNO kini terancam untuk mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam memerintah Kerajaan Persekutuan. Parti elit Melayu ini berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh semua parti politik yang terlalu lama memerintah iaitu mereka menjadi KORUP dengan berlalunya masa dan kuasa yang mereka miliki.

Vitamin Palsu

Kerana tidak ada pilihan untuk terus berkuasa, UMNO juga memperkakaskan semua alat kerajaan untuk memastikan kelangsungan kuasanya. SPR adalah perkakas terbaik untuk mereka terus berkuasa dalam konteks demokrasi berpilihanraya. PDRM diperalatkan melalui ugutan dan penggunaan kuasa yang melampau untuk menjaga "keselamatan" UMNO manakala MEDIA Perdana adalah "penyapu buruk" untuk membersihkan wajah UMNO yang hodoh dengan dengan skandal dan pertuduhan rasuah. Kehakiman pula "dijerut" dengan pendengaran selektif. Pendek kata tanpa semua perkakasan ini sudah lama UMNO ditolak rakyat, tapi mereka masih bertahan dengan "vitamin-vitamin" ini, walaupun ia vitamin palsu yang akan menjerat tuannya.

Peristiwa Hitam

UMNO ada episod hitamnya dan ia tidak pernah berlaku kepada parti lain khususnya pesaing utamanya Parti Islam Se Malaysia (PAS). Tahukah kita UMNO pernah diharamkan pada 4 Feb tahun 1988? Gara-gara perpecahan dalaman ahli UMNO sendiri telah membawa ke Mahkamah kes penipuan dalam Mesyuarat Agung UMNO sehingga UMNO dibubarkan dan dianggap sebagai pertubuhan haram. Hasilnya lahirlah UMNO Baru pada 13 Feb 1988 yang kalau dikira umurnya hari ini baru menjangkau 24 tahun berbanding dengan PEKEMBAR (UMNO) awal yang umurnya 66 tahun.

Sambutan 11 Mei

11 Mei akan menyaksikan satu perhimpunan raksasa mengingati ulangtahun UMNO ditubuhkan. Presidennya hari ini amat memerlukan satu kebangkitan UMNO yang berhadapan dengan kemarahan rakyat terhadap salahguna kuasa yang dipraktikkan. Isu Melayu akan senantiasa menjadi laungan keramat UMNO kerana ia ditubuhkan di atas hasrat perjuangan Ketuanan Melayu. Kita akan menjangkakan itulah sentimen yang akan dipakai dalam ucapan-ucapannya untuk memperingati pejuang-pejuang UMNO tentang perjalanan perjuangan UMNO.

Kita juga tidak boleh membayangkan betapa sukarnya Presidennya yang juga Perdana Menteri Malaysia mahu membangkitkan satu perjuangan yang sudah tidak relevan kepada rakya Malaysia? Ia bukan soal Melayu tetapi soal regim lama yang sudah korup menghitung hari untuk diundurkan. Ia juga bukan soal ketuanan Melayu, tetapi rasuah yang berleluasa dari parti Melayu yang tidak punya pendirian moral lagi untuk bertahan. Apakah ini ucapan terakhir kepada aktivis UMNO untuk mempertahankan satu perjuangan yang sudah tidak terpakai lagi di negara yang mahukan kerangka baru negara? Ataukah Najib mahu memperkenalkan sesuatu yang baru supaya partinya boleh kekal berkuasa? Ataukah ia isyarat kepada PRU begitu hampir?

Berapa umur UMNO?

Kita tidak akan melihat apa-apa yang baru, yang baru hanyalah rakyat akan terus ditipu dan dihidangkan dengan maklumat palsu bahawa negara ini semuanya ok dan UMNO akan terus mengungguli perjuangan rakyat. Bagaimana kita harus mempercayai ucapan pemimpin UMNO kalau umurnya pun menjadi pertikaian, samada 66 tahunkah dia atau 24 tahun? Apapun SELAMAT HARI JADI UMNO!

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (merdekareview.com)

Komen Anda

1 Responses to "Bagaimana ucapan pimpinan di UMNO 66 tahun?"
awang bengkok said...
10 May 2012 at 22:55

tarikh tipu laaa... umno dulu dah diharamkan dik cik det...diganti ngan umno baru... tk kan orang umno sendiri lupe sejarah 2....