Friday, 18 May 2012

Anak Perempuan Yang Belum Khitan

Saya seorang ibu kepada anak perempuan yang berumur tiga tahun. Masalah yang dihadapi sekarang ialah anak saya itu masih belum dikhatankan kerana dia mengalami ekzema yang teruk membabitkan seluruh badan dan juga kemaluannya semasa bayi. Hingga kini ekzema itu masih belum sembuh. Ekzema itu menyakitkan apabila terkena air di tubuhnya dan merumitkan apabila menyuci najisnya. Apa hukumnya jika saya lambat khatan anak saya itu? Saya ada tanya beberapa klinik, tapi memberi jawapan mereka hanya khatan bayi bawah umur dua tahun saja.

Jawapan

Termasuk dalam perkara sunat bagi anak lelaki dan perempuan ialah berkhitan. Ini jelas apabila Rasulullah s.a.w bersabda: “Lima perkara termasuk (sunnah-sunnah) fitrah: khitan, mencukur bulu kemaluan, memendekkan kumis, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Muttafaq ‘alaih).

Bagaimanapun, terdapat perbezaan hukum antara mazhab berkhitan atau bersunat. Mazhab Shafie menganggap berkhitan sebagai wajib bagi kedua-dua anak lelaki dan perempuan. Ia mempunyai beberapa hikmah, antaranya bagi menjaga kebersihan diri, kesihatan dan kehormatan bagi wanita.

Mazhab Hanafi menganggap berkhitan hanya sunat. Manakala mazhab Hanbali menghukumkan wajib bagi anak lelaki dan sunat bagi anak perempuan.

Berdasarkan pendapat hukum di atas dan kes yang berlaku kepada anak puan, berkhitan boleh ditangguhkan sehingga penyakit anak itu sembuh atau reda. Walaupun berkhitan biasanya dilakukan semasa anak masih kecil, ia boleh ditangguh sehingga berumur tujuh tahun atau sebelum baligh bagi anak lelaki.

Anda boleh berhubung dengan pihak hospital sekiranya klinik tidak dapat melakukannya. Berkhitan sebenarnya hanya membabitkan prosedur kecil yang tidak memudaratkan.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda

0 Responses to "Anak Perempuan Yang Belum Khitan"