Sunday, 13 May 2012

3 sebab tolak Hanif - AMK

Tiga sebab mengapa, bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar boleh dipertikaikan kredibilitinya selaku pengerusi panel tersebut.

Pertamanya, beliau bersikap prejudis ketika mengeluarkan kenyataan sebelum ini, kononnya Bersih 3.0 didalangi oleh pihak pro-komunis.

Kenyataan itu dilihat sebagai satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab, malah terkeluar dari norma realiti politik negara.

Kenyataan tanpa fakta, yang digembar-gembur secara bersistematik, memperlihatkan Bersih 3.0 seolah-olah satu gerakan yang 'kotor'.

Kedua, orang ramai tidak pernah lupa tentang Tun Haniff dengan kalimah keramat beliau, di mana beliau tidak pernah menjumpai ayat di dalam Al-Quran yang mengharamkan judi.

Dalam keadaan prinsip keadilan asas di dalam Al-Quran pun masih gagal beliau fahami, bagaimana beliau mampu mengemudi sebuah panel yang bertanggungjawab menyiasat gerakan Bersih yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya Malaysia?

Dan yang ketiganya, bagaimanakah seorang mantan Ketua Polis Negara, mampu mengheret institusi yang pernah beliau pimpin selama 20 tahun ke kancah pengadilan, sedangkan Bersih 3.0 menyaksikan keganasan pihak polis berada pada tahap yang paling parah dalam sejarah penyuraian perhimpunan aman yang berlaku di Malaysia.

Atas tiga sebab ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa rakyat Malaysia menolak pelantikan Tun Haniff, sekaligus hasil siasatan panel ini sekiranya beliau tidak digugurkan.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata sejarah perundangan dilengkapi dengan penegasan bahawa 'keadilan itu bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan'.

Memperlihatkan kepada prinsip ini, beliau berpandangan pelantikan Tun Haniff Omar itu satu langkah terkebelakang, menempangkan proses keadilan dan membuktikan kerajaan BN terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat.

"Malah, pelantikan ini sebenarnya hanyalah satu strategi mainan media Umno-BN yang bertujuan untuk terus-menerus mengalihkan pandangan rakyat daripada menekankan soal reformasi sistem pilihanraya, dengan memfokuskan kepada isu siasatan yang 'bebas' di bawah panel yang diketuai oleh individu yang 'tidak bebas'," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Tun Haniff sebagai Pengerusi Panel Bebas bagi menyiasat kejadian sebenar pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Selain Tun Haniff, bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah; dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Kerajaan juga dikatakan menolak sebarang wakil pemerhati dan siasatan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar dalam kes siasatan Bersih ini, panel yang dilantik harus meraih keyakinan rakyat, bukan keyakinan polis semata-mata.

Maka, tambah beliau tindakan melantik pihak yang tepat sebagai pengerusi adalah sesuatu yang maha penting dan ia terbukti bahawa Tun Haniff bukan individu yang sesuai.

Susulan itu, AMK berpandangan, sewajarnya Tun Haniff, atas integriti selaku bekas Ketua Polis Negara, beliau perlu mengundur diri secara terhormat.

-HD

Komen Anda

0 Responses to "3 sebab tolak Hanif - AMK"