Saturday, 5 May 2012

15 syor penambahbaikan sistem pilihan raya

Sejak dua puluh tahun yang lalu, Malaysia melalui proses perubahan sejarah dan perindustrian yang pesat, perbandaran, teknologi dan perubahan dalam demografi.

Penting untuk badan-badan pengurusan pilihan raya untuk mengadaptasi dengan perubahan yang berterusan, bagi mengekalkan keyakinan awam dalam proses pilihan raya dan supaya sistem yang digunakan mengekalkan tahap kepercayaan dan integriti yang tinggi.

Sejak pilihan raya umum yang pertama diperkenalkan kepada orang ramai, lebih daripada lima dekad yang lalu, tidak pernah ada audit formal dan bebas dijalankan terhadap senarai daftar pemilih.

Sedangkan isu-isu berkaitan dengan politik wang dan media mempunyai kesan terhadap pilihan raya dan konsep tahap pertandingan yang adil untuk semua calon-calon dan parti-parti.

Isu yang memberikan kesan ke atas kredibiliti sistem pilihan raya Malaysia adalah kualiti senarai daftar pemilih.

Tidak adil untuk menyalahkan kerajaan pusat semata-mata dalam hal ini. Ia cabaran bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan berlaku adaptasi perubahan yang berterusan.

Walaupun di atas kertas, sistem pendaftaran pemilih tidak mungkin sama sekali tidak teratur, tetapi ia tidak dapat bergerak selari dengan cabaran pembangunan, perindustrian pesat, perbandaran, teknologi dan perubahan demografi beberapa dekad yang lalu.

Ini memerlukan sokongan kerajaan pusat untuk mengadaptasi solusi kepada masalah yang timbul dari kitaran tempoh proses pilihan raya, yang boleh merosakkan keyakinan orang ramai terhadap sistem sedia ada.

Terdapat berbagai peringkat kitaran dalam tempoh proses pilihan raya. Ia termasuk urusan menggubal undang-undang, pengambilan dan latihan kakitangan pilihan raya, perancangan pilihan raya, pendaftaran pemilih, pendaftaran parti politik, pencalonan, kempen pilihan raya, mengira, penjadualan keputusan, pengisytiharan keputusan, resolusi pertikaian pemilih, laporan, pengauditan dan arkib.

Selepas berakhirnya pilihan raya, wajar memulakan kerja akan datang termasuk perundingan awam dan inisiatif pembaharuan. Seluruh proses ini boleh digambarkan sebagai kitaran tempoh proses pilihan raya.

Pendekatan kitaran tempoh proses pilihan raya penting dalam penglibatan pihak berkepentingan dalam proses dan penyediaan mekanisme untuk memperbaiki penilaian terhadap masa dan peranan mereka.

Oleh yang demikian, sokongan kewangan perlu, dengan memasukkan strategi jangka panjang dan bersepadu, yang mesti menampung tempoh kitaran proses pilihan raya sebagai salah satu fasa proses pendemokrasian jangka panjang.

Secara ringkasnya, boleh dijelaskan bahawa proses pilihan raya tidak boleh statik tetapi hendaklah berkembang secara berterusan dan diadaptasi untuk memenuhi keperluan dan permintaan hari.

SPR mempunyai tanggungjawab rumit. Suruhanjaya itu harus dinamik dengan perubahan dan pertambahan jumlah penduduk, termasuk warganegara dengan umur layak mengundi.

Untuk itu, SPR perlu diberikan lebih banyak fleksibiliti dan kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, selaras dengan Akta 1958.

Undang-undang semasa membataskan SPR daripada mengambil tindakan dan memulakan solusi yang boleh menyokong kerja SPR.

Terdapat tanggapan adanya campur tangan politik dari Jabatan Perdana Menteri dalam SPR ekoran lokasinya dalam kawasan pentadbiran negara dan kekurangan perundingan awam.

Penting untuk struktur dan operasi SPR dilihat bebas. Proses itu perlu melibatkan pelantikan pesuruhjaya yang telus dan demokratik selain struktur operasi yang bebas.

Pada masa yang sama, perlu diingatkan, pertambahan kuasa tidak harus bersifat totalitarian tetapi mesti ada garis panduan kebertanggungjawaban yang jelas dan mekanisme pengawasan.

Atas alasan kepentingan awam, SPR dan agensi bertanggungjawab harus diperkukuhkan melalui proses kebertanggungjawapan undang-undang dan semakan kehakiman.

Berdasarkan penemuan kajian dan analisis data Audit daftar pemilih (VRA), disyorkan:

(1) Memansuhkan Seksyen penyingkiran fasal 9A Akta Pilihan Raya 1958 - yang melarang semakan kehakiman dibuat ke atas daftar pemilih - dengan serta merta. Ia bertujuan mengukuhkan mekanisme semak dan imbang terhadap integriti daftar pemilih melalui proses kehakiman yang bebas, terbuka dan adil.

(2) Mewujudkan Jabatan Pangkalan Data di semua pihak berkuasa tempatan sebagai pendaftar utama yang menyelenggara dan menguruskan daftar pemilih dengan kuasa memeriksa dan mengeditnya secara berkala. Ini termasuk kes perubahan alamat dan lokasi tempat mengundi serta pemilih yang meninggal dunia.

SPR hendaklah bertanggungjawab mewartakan daftar akhir senarai pilihan raya yang dikemukakan oleh Jabatan Pangkalan Data. SPR juga akan berfungsi sebagai badan pengawasan dan menguruskan badan itu bagi melatih dan menetapkan prosedur dan bantuan pakar kepadanya.

(3) Untuk memperkukuhkan ketelusan, pengundi yang ingin menukar lokasi tempat mengundi mesti memaklumkan kepada Jabatan Pangkalan Data dalam tempoh yang munasabah dan perlu mengisi borang pengisytiharan bahawa maklumat berkaitan tepat.

Orang yang memohon untuk menukar lokasi hendaklah turut mengisytiharkan bahawa alamat yang diberikan sah dan kediaman sebenar atau tinggal tetap bersama ibu bapa atau penjaga.

(4) Memperbaiki proses pendaftaran pengundi dengan mekanisme berkomputer dan mengawal selia komposisi penolong pendaftar.

Ia penting bagi memastikan hanya agensi yang bertanggungjawab dibenarkan mendaftar pengundi dengan telus dan jelas bawah satu mekanisme pengawasan. Ia juga untuk memastikan ketepatan maklumat dan mengelakkan penyalahgunaan proses pendaftaran, seperti pendaftaran penyokong parti sebagai pengundi di kawasan tertentu berdasarkan kepentingan masing-masing.

(5) Hubungan antara pangkalan data yang disimpan dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu dikemaskini dan diperiksa secara berkala bagi memastikannya maklumat dalam kad pengenalan dan pengkalan data SPR sama. Ia melibatkan kes pertukaran kad pengenalan untuk menukar nama atau agama. Pengemaskinian juga bagi memastikan tiada pengundi berkongsi satu nombor kad pengenalan.

(6) Meminda Akta Pilihan Raya 1958 bagi membenarkan daftar pemilih disebarkan melalui pelbagai cara termasuk Internet dan pemeriksaan awam dengan notis 14 hari untuk bantahan. Notis itu hendaklah ditampalkan di setiap setiap tempat awam dan dihantar melalui pos kepada warga emas dan orang kurang upaya. Tindakan itu perlu diumumkan dalam media tempatan dalam tempoh masa yang munasabah.

(7) Menyediakan pejabat SPR yang berasingan dan bebas daripada Jabatan Perdana Menteri dan memastikan mekanisme demokratik pelantikan pesuruhjayanya merangkumi kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Ahli masyarakat sivil boleh diserap membantu SPR dalam perkara pentadbiran dan perundingan awam mengenai perubahan undang-undang dan peraturan.

(8) Menyediakan SPR dengan kuasa kehakiman untuk menyiasat hal yang sesuai, termasuk kes pelanggaran undang-undang pilihan raya, tindakan atau ralat yang menjadi pilihan raya dikotori penipuan dan penyelewengan.

(9) Meningkatkan keupayaan SPR dan pegawai pembanci yang bertanggungjawab mengukuhkan daftar pemilih.

(10) Organisasi masyarakat sivil dan parti politik hendaklah dibenarkan mengambil bahagian dalam audit daftar pemilih dan bekerjasama dengan SPR pada setiap masa.

(11) Melaksanakan mekanisme pengundian awal bagi pengundi tidak hadir hanya dalam kes pengundi yang mengundi di kawasan kediaman tetap di mana ibu bapa atau penjaga pengundi tinggal. Pengundi tidak hadir hendaklah terhad kepada kerusi Parlimen sahaja dan hendaklah dijalankan mengikut cara yang selamat dan telus dengan prosedur yang jelas.

(12) Untuk pendaftaran pengundi, memberi perhatian khas kepada kumpulan yang layak mengundi tetapi belum berdaftar. Ia harus memberi tumpuan kepada golongan muda berumur kurang 30 tahun di kawasan bandar berkepadatan tinggi di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

(13) SPR perlu memperluaskan penyebaran maklumat dan pendidikan pengundi di institusi masyarakat seperti sekolah, institusi agama dan kaunter kerajaan supaya pengundi mempunyai peluang yang lebih luas untuk mendaftar dan dimaklumkan tentang proses mengundi.

(14) Mengukuhkan keupayaan masyarakat sivil untuk memantau proses mengemaskini pendaftaran daftar pemilih dan memberi perhatian khusus kepada pengundi yang dipindahkan, pemilih yang meninggal dunia dan pengundi tidak berdaftar.

(15) Bekerjasama dengan masyarakat tempatan dan media penyiaran untuk penyebaran maklumat mengenai pendaftaran pengundi.

K SHAN pemangku pengerusi Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI) yang memantau sistem pilihan raya di Malaysia dan negara sekitar Asia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen Anda

0 Responses to "15 syor penambahbaikan sistem pilihan raya"