Sunday, 15 April 2012

UMNO Diam Hal Task Force IC Warga Asing

Sikap mendiamkan diri Umno terhadap dakwaan wujudnya 'task force' bagi memberi taraf kerakyatan kepada warga asing memperkukuhkan lagi hujah dan alasan yang diberikan sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan konspirasi itu minggu lalu percaya Umno mengambil langkah tidak melayan dakwaannya itu dibimbangi 'memakan diri mereka sendiri'.

"Saya percaya jika kerajaan Umno BN layan dakwaan saya, ia akan menjadi malapetaka besar kepada Umno BN dan akan menjadi 'api membakar diri mereka sendiri'," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sikap membisu kerajaan itu sekali gus mewajarkan Yang DiPertuan Agong perlu membentuk Suruhanjaya Diraja dengan segera bagi meneliti dakwaannya itu.

"Sikap diam diri ini juga memperkukuhkan cadangan yang telah dibuat oleh PSC dalam laporan awal di mana mencadangkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kes yang sama di peringkat negeri Sabah.

"Sekarang ini bukan lagi menjadi isu yang terpencil di Sabah tetapi isu nasional," katanya.

Pendedahan wujudnya 'task force' oleh Ahli Parlimen Pokok Sena itu seharusnya dipandang serius oleh kerajaan.

Namun, selepas seminggu ianya didedahkan, sehingga kini kerajaan belum memberi sebarang respons terhadap dakwaan Mahfuz itu.

Mahfuz juga, bersedia mendedahkan butiran terperinci dakwaannya itu kepada Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk nanti.

Bagaimanapun sehari selepas Mahfuz membuat pendedahan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Begitu juga, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar. -HD

Komen Anda

0 Responses to "UMNO Diam Hal Task Force IC Warga Asing"