Friday, 13 April 2012

Saman UMNO Terhadap Ustaz Hadi & Mohd Sabu Ditolak

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang dan timbalannya, Haji Mohd Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Umno Selangor telah melalui Setiasusaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Ustaz Hadi dan Mohd Sabu dan beberapa individu lain bagi menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno ini.

Artikel Harakah tersebut telah diterbitkan pada edisinya bertarikh 19 Ogos 2011 yang lalu.

Ustaz Hadi dan Mat Sabu kemudiannya telah memfailkan Saman Dalam Kamar di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 bagi membatalkan saman Umno Selangor tersebut.

Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hadi dan Mohd Sabu bahawa saman Umno Selangor ke atas kedua-dua tokoh PAS tersebut telah gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Di dalam hujah lisannya Hanipa berhujah perkataan 'any office bearer (mana -mana pemegang jawatan) di dalam seksyen 9 (c) akta tersebut bermaksud hanya seorang pemegang jawatan di dalam PAS yang boleh di saman maka tindakan Umno Selangor yang menamakan lebih dari seorang pemegang jawatan PAS tersebut adalah secara jelas satu penyalahgunaan proses Mahkamah kerana ia melanggar seksyen 9(c) Akta tersebut.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak manakala Ustaz Hadi dan Mohd Sabu diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Saman UMNO Terhadap Ustaz Hadi & Mohd Sabu Ditolak"