Tuesday, 10 April 2012

Penyanyi Ismail Haron Kembali Ke Rahmatullah

Penyanyi veteran Singapura, Ismail Haron meninggal dunia, semalam. Penyanyi popular mendapat jolokan Tom Jones Singapura itu meninggal dalam tidur kira-kira jam 2 petang di rumah kakaknya di Jurong West, Singapura. Beliau berusia 65 tahun dan masih bujang.

Beliau popular era 70-an menerusi paduan duet bersama diva Anita Sarawak menerusi lagu Menunggu Nasi Minyak dan Kesah Dol dan Minah.

Menurut pengurusnya, Maria Sata, beliau terkejut menerima panggilan daripada kakaknya, Halimah Haron dimaklumkan Ismail meninggal dunia. Bagaimanapun belum ada pengesahan sebarang implikasi penyakit daripada doktor.

“Beliau memang kurang sihat dan demam sejak dua tiga hari lalu. Sepanjang saya tahu, beliau tidak pernah menghidap apa-apa penyakit. Pemergian beliau satu kehilangan besar kepada seni suara tempatan di Singapura dan Malaysia. Saya menghormati beliau kerana berpendirian tegas dan serius mempersiapkan diri sekiranya mendapat undangan persembahan di mana-mana saja.

“Beliau bukan jenis suka membaca lirik di depan mata atau ‘standboard’ sebaliknya lebih suka mempersiapkan diri menghafal lagu sebaik mungkin. Malah, beliau akan membuat persiapan seminggu sebelum menyanyi untuk memastikan persembahannya ‘tip-top’.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat,” kata Maria sewaktu dihubungi di Singapura yang bertindak sebagai pengurusnya sejak 2008.

Antara rakan dan sahabat menziarahi beliau semalam adalah rakan seangkatan seni suara seperti Rahimah Rahim, Aziz Ahmad dan Mahani Mohamad.

Upacara pengebumian akan disempurnakan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi 2, Jalan Bahar, Singapura, jam 10 pagi ini. -hm

Komen Anda

0 Responses to "Penyanyi Ismail Haron Kembali Ke Rahmatullah"