Wednesday, 4 April 2012

Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan

Tiga ahli parlimen pembangkang diarah keluar Dewan Rakyat hari ini kerana enggan mematuhi arahan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung isu laporan minoriti.

Mereka mempersoalkan keputusannya tidak membenarkan laporan minoriti dilampirkan kepada laporan jawatankuasa pilih parlimen (SPA) bagi reformasi sistem pilihan raya.

"Di bawah Perintah Tetap 42, apabila speaker bercakap, anda mesti diam," Pandikar memberitahu mereka.

"Di bawah Perintah Tetap 43, keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan... dan di bawah Perintah Tetap 44, saya mengarahkan Gombak (Azmin Ali), Subang (R Sivarasa) dan Kuala Selangor (Dzulkefly Ahmad) meninggalkan Dewan."

Pandikar baru sahaja mengambil alih tugas mempengerusikan sidang Dewan daripada timbalannya, Datuk Ronald Kiandee, apabila beliau memerintahkan mereka meninggalkan Dewan.

Sivarasa bangun selepas waktu rihat tengah hari untuk meminta panduan daripada Kiandee mengenai kemungkinan Pandikar silap dalam keputusannya berhubung laporan minoriti.

Kiandee enggan melayan permintaan tersebut, tetapi Sivarasa, tidak putus asa - dengan dibantu oleh celahan daripada Azmin dan Dzulkefly - terus membangkitkan perkara itu.

Mereka membangkitkan duluan-duluan di mana laporan minoriti telah dibentangkan dalam Parlimen negara Komanwel yang lain.

Kiandee (lamam) bertegas bahawa keputusan Pandikar juga dibuat berdasarkan duluan dan amalan yang diterima di Parlimen New Zealand dan negara Komanwel yang lain.

Keadaan menjadi riuh-rendah apabila ahli Parlimen pembangkang terus mendesak perkara itu. -mk


Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.

Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.

Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Common sendiri.

Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.

Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.

Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.

Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.

Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.

Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.

Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.

Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan"