Sunday, 15 April 2012

Orang Asli demo depan pejabat MB Kelantan

Orang Asli protest KelantanSekumpulan masyarakat Orang Asli dari daerah seluruh Kelantan hari ini berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar di sini bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang dakwa mereka berdiam diri berhubung isu pengambil alihan tanah adat mereka.

Kumpulan Orang Asli Temiang daripada 26 kampung itu berkumpul dengan membawa kain rentang membantah tindakan kerajaan negeri mengeluarkan lesen pembalakan di tanah nenek moyang mereka dan menjalankan projek pertanian negeri Ladang Rakyat di situ.

Mereka turut menuntut lesen-lesen yang diberi kepada semua kontraktor-kontraktor yang bekerja di atas Tanah Wilayah Adat orang asli ditarik balik.

“Kami menuntut kerajaan negeri memberi pampasan yang sewajarnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, menurut jurucakap kepada kumpulan berkenaan, Ahli Jawatankuasa berkaitan Orang Asli, Majlis Peguam, Alison Murugesu, pihaknya menggesa kerajaan membatalkan semua Rizab yang bertindih dengan Tanah Wilayah Adat orang asli dan menggazetkan Tanah Wilayah Adat Orang Asli menurut peta komuniti.

Malah pihaknya juga berharap agar segala penyebaran maklumat palsu kepada rakyat dengan mengeluarkan video dan kenyataan media dengan menggunakan orang asli yang berkepentingan sendiri dihentikan.

Kumpulan ini juga tidak lagi mahu mendengar sebarang alasan daripada kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri.

“Kami tahu tanah-tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan sekiranya kerajan negeri mahu membantu orang asli, mereka boleh memenuhi tuntutan kami.”

“Kami juga mahu kerajaan pusat mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA memberhentikan sikap mereka yang sentiasa cuba memperbodohkan orang asli untuk kepentingan individu-individu tertentu,” tegas kenyataan itu.

Bantahan hari ini adalah yang ketiga dilakukan kumpulan berkenaan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Ketika bantahan pada 8 Januari lalu, lapan orang masyarakat Temiar di Gua Musang ditangkap selepas cuba mengadakan sekatan bagi menghalang kumpulan pembalak daripada memasuki kawasan kampung mereka. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Orang Asli demo depan pejabat MB Kelantan"