Friday, 13 April 2012

Kereta Meletup Ketika Hendak Hidupkan Enjin

Seorang ahli perniagaan cedera parah apabila kereta jenis Nissan X-Trail miliknya meletup ketika beliau menghidupkan enjin kereta itu di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang di sini, Jumaat.

Gambar: ANGGOTA forensik mencari bukti di tempat kejadian seorang ahli perniagaan, Lee Chong Beng, 52, cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda miliknya meletup ketika beliau menghidupkan enjin kereta itu di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, Bukit Mertajam, Butterworth, hari ini. - Foto Danial Saad

Kejadian pada pukul 8.20 pagi itu menyebabkan Lee Chong Beng, 52, terbakar lebih 70 peratus di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata ketika kejadian, Lee ingin menghidupkan enjin kereta itu untuk keluar bekerja.

"Ketika mangsa menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba berlaku letupan dan mengeluarkan api serta menyambar mangsa. Mangsa yang panik menjerit meminta tolong dan diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan perumahannya itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, Jumaat, Ayub berkata sepasukan anggota bomba memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah mangsa.Ayub berkata anggota forensik dengan bantuan Jabatan Kimia masih menyiasat punca kereta itu meletup dan terbakar.

"Setakat ini kita belum tahu punca sebenar sama ada kejadian itu disebabkan sabotaj atau kereta mangsa mengalami masalah," katanya. - BERNAMA

Komen Anda

0 Responses to "Kereta Meletup Ketika Hendak Hidupkan Enjin"