Saturday, 7 April 2012

Kekeluargaan menjamin kejayaan

PENDIDIKAN formal bermula di sekolah sama ada di peringkat rendah termasuk prasekolah atau di peringkat menara gading. Malah segala bentuk kursus, seminar atau bengkel juga merupakan satu bentuk pendidikan formal.

Proses pendidikan yang formal memerlukan jalinan yang mesra serta saling faham memahami warga sekolah khususnya dalam kalanan murid mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan.

Murid yang melangkah kaki ke sekolah akan mendapat ilmu dan kemahiran umum mengikut tahap masing-masing. Ini sebagai satu persediaan diri sebelum melanjutkan lagi pelajaran mereka ke pusat pengajian tinggi mengikut pengkhususan masing-masing ke arah penentuan bidang kerjaya.

Selain daripada itu sekolah juga berfungsi sebagai pusat sosialisasi ke arah mencorakkan pembudayaan masyarakat berlandaskan nilai-nilai murni yang menjadi teras kehidupan rakyak Malaysia.

Dalam konteks ini murid harus mempamerkan tingkah laku yang sopan, hormat menghormati antara satu sama lain serta berkomunikasi dengan baik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Pelanggaran peraturan sekolah boleh mencetuskan suasana yang hiruk pikuk bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga melibatkan perhubungan dengan guru, ibu bapa dan masyarakat luar. Adalah menjadi kewajipan guru untuk mengambil tindakan membetulkan keadaan bagi murid yang bersifat sombong, angkuh, dan engkar mematuhi arahan.

Sudah menjadi lumrah kehidupan bagi segelintir manusia yang tidak suka dicabar atau dan tidak bersedia untuk menerima sebarang tindakan setelah mereka melakukan kesalahan. Sikap angkuh beginilah yang menyebabkan mereka bertindak dengan lebih agresif lagi seperti mencederakan guru, merosak kenderaan malah ada yang cuba memusnahkan harta benda sekolah sabagai satu bentuk protes terhadap tindakan yang diambil oleh pihak guru terhadap mereka.

Kesan buruk daripada gejala yang disebut di atas ialah kerugian besar ke atas proses pembelajaran murid-murid. Sistem pembelajaran sekarang memerlukan pendekatan secara kolaborasi di mana perbincangan, perkongsian maklumat dan perbahasan perlu dilakukan secara kumpulan. Anggota ahli yang aktif serta mempunyia perhubungan kekeluargaan yang mantap dalam kalangan mereka mampu menjana banyak ide-ide baru untuk mempermudahkan proses pencarian maklumat.

Dalah hal ini soal perpaduan, soal saling faham memahami antara satu sama lain adalah penting sebagai alat komunikasi yang mampu menyepadukan murid-murid dalam proses pembelajaran dan pengajaran ke arah mencapai kejayaan.

DR. ISMAIL ZAIN
-Adap Utusan

Komen Anda

0 Responses to "Kekeluargaan menjamin kejayaan"