Monday, 30 April 2012

Keganasan Polis Kepada Wartawan

Seorang wartawan wanita mendakwa dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 dalam kejadian anggaran jam 7.30 petang semalam.

Wartawan laman berita Merdeka Review, Chen Shaua Fui berkata dalam insiden di Jalan Tun Perak itu beliau cuba merakam gambar anggota polis yang didakwa memukul peserta perhimpunan di sebuah restoran.

"Saya mahu rakam foto dan ketika itulah mereka pegang saya," katanya lagi.

Chen berkata salah seorang anggota berkenaan memegang tangan kanannya manakala seorang lagi memegang tangan kirinya.

Seorang lagi anggota polis cuba menarik beg beliau, katanya lagi kepada Malaysiakini.

Tambahnya, anggota polis tersebut cuba merampas kamera beliau serta merampas kad pengenalan medianya dan menendang kad berkenaan.

Seorang lagi wartawan yang turut mendakwa dikasari polis, Harry Fawcett mendakwa diberi layanan sebegitu oleh sekumpulan polis berpakaian seragam ketika beliau cuba merakam tindakan anggota berkenaan ke atas sekumpulan peserta perhimpunan.

Wartawan Al Jazeera itu memberitahu Malaysiakini, beliau bersama jurukameranya Ray Nones dihurung sekumpulan polis antara sepuluh hingga 15 orang ketika berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Fawcett mendakwa, beliau melihat tiga anggota polis memegang seorang lelaki dan pada masa sama seorang anggota polis itu menendang lelaki berkenaan.


Wartawan The Sun dipukul polis

radzi razak najib 290412Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak yang mendakwa dipukul sehingga tujuh orang anggota polis hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

radzi razak najib 290412Menurut Radzi, Najib telah meminta maaf kepadanya atas insiden tersebut.

Najib dilihat berbisik kepada Radzi ketika melawat wartawan tersebut di wad Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Radzi ketika ditemui mendakwa beliau dipukul oleh tujuh anggota berkenaan ketika berada di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Razak dalam insiden semalam.


Peguam dakwa diserang polis

Seorang peguam yang bertindak sebagai pemerhati dalam perhimpunan BERSIH 3.0 semalam mendakwa diserang anggota polis yang bertindak memukul dirinya walaupun selepas ditahan.

Mohd Haijan Omar berkata beliau dalam perjalanan ke Reggae Mansion Hostel di Jalan Tun HS Lee ketika beliau melihat beberapa orang polis sedang mengejar peserta perhimpunan dalam kejadian pada sekitar jam 7 petang.

haijan omar 290412Ketika kejadian itu, Mohd Haijan berkata beliau ditegur oleh seorang anggota polis berkenaan dan kemudiannya meminta anggota berkenaan mengulangi perkara tersebut.

Beliau kemudiannya terkejut apabila anggota polis itu bertindak mengejar dirnya.

Mohd Haijan berkata beliau memakai baju berwarna kuning dan selapis baju berwarna putih ketika perhimpunan itu berlangsung.

Bagaimanapun, beliau membuka helaian baju putih kerana beliau telahpun dalam perjalanan pulang ke rumah dan perkara itu mungkin menyebabkan beliau dipukul polis, katanya.

Peguam yang bertindak untuk Lawyers for Liberty itu menambah, dua anggota polis tersebut terus memukulnya walau selepas menyatakan bahawa beliau seorang peguam.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Keganasan Polis Kepada Wartawan"