Wednesday, 4 April 2012

Beri IC Kepada Rakyat Asing, RCI Perlu

PAS mahu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pemberian kad pengenalan (IC) kepada warga asing ditubuhkan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) berlangsung.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata RCI itu penting bukan sahaja di Sabah tapi seluruh negara bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan palsu kepada warga asing seterusnya didaftarkan menjadi pengundi pilihan raya.

Katanya, penubuhan itu perlu dilakukan segera memandangkan dakwaan wujudnya satu badan bertindak yang mengendalikan projek pemberian IC kepada rakyat asing.

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.

“Ini dakwaan serius kerana saya anggap seperti menjual negara kepada rakyat asing.

Politik terdesak

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) tak mampu berhadapan dengan politik terdesak apabila menghadapi kebangkitan rakyat dengan membawa warga asing dan memastikan mereka mengundi Umno-BN,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sekiranya RCI dibentuk, Mahfuz berkata beberapa individu lain juga perlu diheret dan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dakwaan mereka melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Othman.

Mereka adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.

Beliau bimbang jika benar dakwaan ini berlaku, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing.

“RCI sangat penting dan perlu dibentuk segera dan laporan dikemukakan sebelum PRU13…sebelum laporan dikemukakan kepada orang awam, PRU13 tak boleh diadakan sama sekali,” tegasnya. -FMT

Komen Anda

0 Responses to "Beri IC Kepada Rakyat Asing, RCI Perlu"