Friday, 6 April 2012

Beli ahli Kongres AS puji Malaysia?

Media tempatan termasuk Utusan Malaysia melaporkan pujian Ahli Kongres AS Eni Faleomagaeva terhadap demokrasi di Malaysia yang disifatkan sebagai "lancar."

Berita ini dimuatkan di muka depan akhbar dikuasai Umno itu, dan turut dimuatkan gambar ahli kongres dari Parti Demokratik itu dengan Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, duta khas Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pujian terhadap Malaysia bukan kes pertama yang di luar kebiasaan ahli kongres itu, yang sejak tercetus kebangkitan di Bahrain menjadi rakan baik kepada negara monarki Teluk Parsi itu.

Menurut laporan penyiasatan ProPublica, Faleomagaeva mula membina hubungan baik dengan Bahrain sejak tercetus kebangkitan, dibayar untuk melawat Bahrain sebanyak dua kali tahun lalu.

ProPublica melaporkan Faleomagaeva secara tiba-tiba menjadi pembela Bahrain di Kongres AS, mengulangi bulat-bulat versi pemerintah Bahrain yang menyifatkan peserta protes dengan negatif.

Laman itu melaporkan kenyataan berhubung Bahrain itu sebagai luar biasa bagi seorang ahli kongres yang sebelum itu tidak pernah mengulas isu Asia Barat, hal yang kelihatan sama dengan ulasannya berhubung politik Malaysia.

Isu Bahrain menemukan Faleomagaeva dengan Najib, yang kedua-duanya ada mengambil pendirian menyokong pemerintah Bahrain dalam menangani protes rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada Mac 2011 pernah membuat kenyataan menyokong pemerintah Bahrain dan Arab Saudi ketika tercetus kebangkitan rakyat di negara ahli Majlis Kerjasama Teluk, GCC, itu.

Dalam kenyataan itu Najib menyatakan sokongan tindakan Saudi dan GCC menghantar tentera ke Bahrain untuk mematahkan protes.

Najib sejak menjawat jawatan perdana menteri membina hubungan rapat dengan Arab Saudi dan negara-negara kaya GCC.

Lawatan ahli kongres itu ke Malaysia dan kenyataannya itu menimbulkan banyak persoalan, terutama disebabkan kredibiliti berhubung isu demokrasi di Bahrain dan sejarah beliau yang lebih tertumpu pada isu-isu tempatan konstituensi beliau di Samoa Amerika.

http://siasahdaily.blogspot.com

Komen Anda

0 Responses to "Beli ahli Kongres AS puji Malaysia?"