Sunday, 29 April 2012

AFTQ Kesal Tindakan PDRM terhadap BERSIH

http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-snc4/188012_187650537923191_1158970_n.jpgArmed for the Quill (AFTQ) melahirkan rasa kesal dengan tragedi kemanusiaan yang berlaku semasa pengakhiran perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur,Malaysia pada hari ini (28 April 2012). Kami ingin menuntut kepada pihak kerajaan Malaysia bagi bertanggungjawab di atas setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa yang dilihat oleh para pemerhati sebagai telah gagal bertindak dengan adil, dikuasai sikap panas baran dan keterlaluan.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil kira kecaman ramai kerana terus gagal mempertingkatkan imej mereka sebagai satu institusi yang menjamin keadilan dan telus di dalam aktiviti-aktiviti masyarakat yang berkaitan politik. Tindakan PDRM yang gagal mengawal perasaan sendiri hari ini semasa mengawal para peserta BERSIH 3.0 adalah satu musibah yang boleh dielakkan. Pihak polis sewajarnya lebih bijak bertindak dengan hanya mempertahankan kemasukan para peserta ke kawasan Dataran Merdeka. Kami berpendapat pihak polis tidak sewajarnya memburu sehingga beberapa kilometer semata-mata untuk menembak kanister pemedih mata dan meriam air ke atas peserta. Cukuplah sekadar mempertahankan Dataran Merdeka daripada dicerobohi dan tidak bertindak keterlaluan dalam mengejar peserta. Ini adalah kerana pihak berkuasa hanya perlu menjalankan perintah mahkamah untuk memastikan kawasan Dataran Merdeka tidak dimasuki. AFTQ berpendapat pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk menjadi sebegitu offensif.

Sesungguhnya kami percaya insiden hari ini bakal menghangatkan semula persoalan sama ada kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak benar-benar serius melaksanakan reformasi di dalam amalan demokrasi di Malaysia. Malah, kami juga tertanya-tanya sama ada tindakan pihak polis hari ini selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011. Ini adalah kerana kejadian disebabkan oleh polis di dalam Bersih kali ini adalah terburuk jika dibandingkan semasa mengawal demonstrasi-demonstrasi Bersih sebelum ini. Persoalannya ialah adakah melalui Akta baru ini kuasa polis sudah bertambah dan menafikan hak bersuara oleh rakyat negara ini.

Kami juga amat memandang serius tindakan pihak polis yang dilaporkan merampas alat-alat rakaman seperti kamera, telefon bimbit dan video dank ad memori milik para wartawan dengan alasan untuk mengelakkan rakaman yang membabitkan tindakan polis memukul para peserta daripada diketahui umum. Kami menggesa pihak polis supaya memulangkan semula peralatan berkenaan yang dirampas tanpa syarat. Tindakan merampas ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku sekiranya benar apa yang didakwa oleh kerajaan Malaysia bahawa Malaysia adalah sebuah negara maju yang menjunjung hak asasi dan ketelusan maklumat kepada masyarakat.

AFTQ juga sedih dengan tindakan pihak berkuasa menangkap beberapa wartawan yang bertugas dan malah menerima laporan ada sesetengah mereka dipukul oleh pihak polis semasa ditahan dan juga ketika dibawa ke pusat tahanan.

AFTQ sangat kecewa dengan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan Datuk Seri Najib yang sama sekali berbeza dengan apa yang dijanjikan melalui ucapan-ucapan beliau di dalam mana-mana program bersama rakyat. Apa yang berlaku hari ini terus membawa Malaysia terus terkebelakang di dalam melaksanakan reformasi sistem demokrasinya.

AFTQ juga menggesa kesemua peserta BERSIH yang ditahan diberikan rawatan kesihatan dan juga dilepaskan tanpa tindakan serta syarat. Pihak polis juga perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab sekiranya tindakan-tindakan yang dilakukan adalah menyalahi undang-undang dan di luar batas kemanusiaan.

Kerajaan Malaysia juga seharusnya membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menjalankan penyiasatan secara telus dan tanpa tekanan untuk memastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Kami yakin situasi yang berlaku di luar dugaan hari ini bakal memberi kesan ke atas persiapan Malaysia menghadapi pilihanraya umum akan datang. Namun begitu, kerajaan yang dipilih hari ini perlu memastikan sistem demokrasi dan hak asasi manusia terus terpelihara sebelum rakyat memilih kerajaan pilihan mereka semasa pilihanraya di masa hadapan.

SHAHARUL ANWAR SHAFIE

Ketua

AFTQ (Asia Tenggara dan Timor Leste)
shaharul@armedforthequill.com
019-6949364

Armed for the Quill (AFTQ) adalah NGO antarabangsa yang berpusat di Oslo, Norway yang memperjuangkan hak asasi manusia, hak bersuara, kebebasan media dan memerangi kemiskinan.
http://www.armedforthequill.com

Komen Anda

0 Responses to "AFTQ Kesal Tindakan PDRM terhadap BERSIH"