Wednesday, 11 April 2012

ABPBH : Zed Zaidi tak puas hati dengan Aaron Aziz?

http://www.malaysiandigest.com/images/IMG_3678b2.jpg

SEBELUM Cik Normah membebel panjang lebar mengenai sikap kebudak-budakan seorang pelakon ini, Cik Normah ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

Seronok melihat penonton serta pembaca akhbar tempat Cik Normah bekerja ini gembira dan terhibur dengan persembahan yang kami sajikan. Walaupun ada cacat-cela di sana sini, tapi tak kisahlah itu. Dalam hidup ini mana ada yang sempurnakan? Macam orang selalu kata, yang baik datang dari Tuhan, yang buruk datang daripada diri kita sendiri.

Tapi ada juga yang perasan dirinya selalu sempurna dan orang lain semua tak bagus. Contohnya, apabila seorang pelakon memburukkan artis lain di laman sosial miliknya. Terkejut Cik Normah apabila membaca Twitter milik pelakon Zed Zaidi yang secara terang-terangan mempertikaikan kemenangan aktor Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular ABPBH2011.

Meskipun tidak menulis nama Aaron, tapi rasanya semua orang tahu siapakah orang yang dimaksudkannya itu. Bukan main lagi Zed menyindir dengan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi pelakon itu.

Lebih mengejutkan Cik Normah apabila Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu menyifatkan tindakan peminat seperti menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tempatan.

Apa yang dimaksudkan Zed dengan merosakkan industri seni tempatan? Cik Normah hendak tanya pada Zed, tidakkah dia membuat kaji selidik terlebih dulu sebelum membabi buta mengeluarkan kenyataan?

Seandainya Zed terlupa, cuba semak balik susur galur sejarah pelakon kita yang hebat-hebat zaman dulu, semuanya berasal dari Studio Jalan Ampas, Singapura. Jadi, apa masalahnya dengan status kewarganegaraan dengan industri seni? Masing-masing nyata hendak hidupkan lagi industri seni hiburan Melayu.

Datuk M Nasir, yang juga warga Singapura pernah memenangi anugerah itu sebelum ini. Apakah dia seorang yang merosakkan industri seni tempatan seperti yang didakwa? Kalau iya pun dia ada masalah peribadi dengan Aaron, tak perlulah sampai melemparkan tuduhan seperti itu. Tak baik! Lagipun kemenangan Aaron diputuskan peminat dan pada pandangan Cik Normah, dia memang layak berdasarkan fenomena yang diciptanya itu.

Cik Normah rasa, tak perlulah nak diperbesarkan perkara kecil seperti ini. Sudahlah industri kita tak sebesar mana, tak ada kerja lain asyik nak bermasam muka. Cik Normah risau pula nanti bila benda ini menjadi kecoh, akan ada sidang media dari pihak Seniman menuduh media pandai-pandai membuat cerita palsu seperti yang berlaku sebelum ini.

Pesan Cik Normah, henti-hentikanlah membuat gimik murahan seperti ini kerana popular dengan cara sebegini lazimnya jangka hayat dalam industri tak lama. Okay, bye!

-BH

Komen Anda

0 Responses to "ABPBH : Zed Zaidi tak puas hati dengan Aaron Aziz?"