Wednesday, 7 March 2012

SAPP Layak Bertanding Dalam PRU

PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee memberi jaminan kepada ahli dan penyokong bahawa parti itu layak bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 meskipun telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar saman malu RM1 juta kepada Tan Sri Harris Salleh.

Beliau berkata, arahan Mahkamah Tinggi berkenaan tidak menjejaskan kelayakan parti itu untuk bertanding dalam pilihanraya umum nanti.

“Arahan untuk membayar RM1 juta kepada Tan Sri Harris Salleh itu bukanlah satu kesalahan. Dalam aspek undang-undang ia hanyalah berbentuk hutang, maka calon-calon SAPP layak bertanding dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Harris yang juga mantan Ketua Menteri telah memfailkan saman terhadap Yong dan SAPP berhubung kenyataan mereka mengenai pesawat Nomad milik Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976.

Tragedi yang lebih dikenali sebagai ‘Double Six’ itu menyebabkan Ketua Menteri yang baru dilantik, Tun Fuad Stephens serta tiga menteri kabinetnya – Datuk Salleh sulong, Datuk Peter Mojuntin dan Datuk Chong Thien Vun dan tujuh orang yang lain terbunuh.

Dalam pada itu, Yong berkata beliau memutuskan untuk menjelaskan kepada para penyokong parti mengenai arahan mahkamah berkenaan kerana bimbang mereka akan berfikir yang calon-calon SAPP tidak akan dibenarkan bertanding dalam PRU-13.

Turut hadir di Tamu Jalan Gaya ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Adun Likas, Datuk Liew Teck Chan; Timbalan Presiden, Amde Sidik; Bendahari Agung, Dullie Marie; Setiausaha Agung, Datuk Richard Yong; Adun Luyang merangkap Ketua Wanita, Melanie Chia; Ketua Pemuda, Edward Dagul; dan Ketua Penerangan, Chong Pit Fah. (Utusan Borneo)

Komen Anda

0 Responses to "SAPP Layak Bertanding Dalam PRU"