Tuesday, 13 March 2012

Sabah Miskin Kerana Tiada Autonomi

JIKA kekayaan negeri Sabah diagehkan secara sama rata di kalangan penduduk, sudah pasti negeri ini menjadi yang terkaya di Malaysia dan bukan antara yang termiskin.

Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata Sabah menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada hasil negara namun hanya mendapat agihan yang kecil pada setiap tahun disebabkan negeri ini sudah kehilangan otonomi memungut cukai.

“Rakyat negeri ini pada hakikatnya memiliki hak mengawal kewangan, tabungan, dana pembangunan dan tarif seperti yang dinyatakan dalam Memorandum 20 Perkara No 11 mengenai tarif dan kewangan,” katanya ketika melancarkan Bahagian Star kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap di Kg Pamilaan pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pemuda Star Sabah yang juga Ketua Bahagian Star Tenom, Hasmin Azroy Abdullah; Ketua Wanita Star, Melanie Annol; Ketua Pemuda Usno, Mohd Abdillah Timbasal; Ahli Majlis Tertinggi Usno, Leong Chau Chu; Naib Presiden SAPP, Jimmy Jawatah dan Ketua Bahagian SAPP Kemabong, Saul Sally.

Majlis pelancaran yang dihadiri kira-kira 500 orang itu berlangsung di rumah Petrus Hendrikus, seorang peniaga yang selama ini tidak terlibat dengan politik tapi kemudian menjadi pendukung utama Agenda Borneo yang diperjuangkan Star.

Pada majlis itu, Dr Jeffrey menerima keahlian dari kawasan Daerah Mengundi Pamilaan termasuk Felix Martin, mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Melalap.

Terdahulu dalam ucapannya, Azroy menyatakan perjuangan Agenda Borneo bukanlah cakap-cakap politik semata-mata, sebaliknya adalah satu keikhlasan membela nasib rakyat Sabah yang terpinggir selama ini.

“Penindasan itu bukan pula sebuah rekaan untuk mendapat simpati tetapi diiringi fakta yang jelas dan tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak,” kata Azroy sambil menambah Star turut memperjuangkan keseimbangan perjawatan awam di kalangan rakyat Sabah.

Menurut Azroy, rakyat negeri ini juga masih berhadapan dengan sistem jalan raya yang teruk, pembangunan lembab, pengangguran dan pelbagai masalah minor lagi akibat kehilangan kuasa menurut Perjanjian Malaysia 1963.

Azroy menyeru golongan belia agar mengambil kesedaran untuk bangkit berjuang demi kelangsungan hidup bermaruah generasi akan datang sebelum semuanya menjadi terlambat dan hak-hak didominasi oleh warganegara baru.

-Star Media / SK

Komen Anda

0 Responses to "Sabah Miskin Kerana Tiada Autonomi"