Sunday, 25 March 2012

PM salur RM2.71b untuk Umno Selangor

TINDAKAN Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Dato’ Seri Najib Razak menyalurkan RM2.71 bilion kepada Umno Selangor membuktikan amalan penyalahgunaan wang rakyat secara berleluasa digunakan untuk kepentingan sempit politik.

Tindakan tersebut juga sekali gus memberi gambaran usaha terdesak Umno untuk menawan Selangor sehingga sanggup membelakangkan kepentingan dana awam yang sebegitu besar.

Menurut MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, wang yang digunakan oleh Umno untuk menawan negeri Selangor merupakan dana pembayar cukai dan mestilah diurus dengan sempurna.

“Ini adalah satu contoh usaha Kerajaan Pusat membelakangkan rakyat. Rakyat bukan hanya BN, bukan hanya Umno.

“Ini kesalahan Kerajaan (Pusat) kerana duit cukai bukan untuk parti politik.

Duit kerajaan mesti disalurkan dengan tatacara dan tatakelola yang betul bagi pentadbir negeri dan negara.

“Cara yang dibuat oleh Najib, Umno dan BN ini adalah sesuatu yang salah,” kata beliau dalam wawancara yang diadakan di Pejabat Menteri Besar itu sendiri.

Menurutnya lagi rakyat negeri Selangor hari ini semakin matang dan tidak boleh dirasuah dengan peruntukan RM2.71 billion itu.

Pada 19 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

-DD

Komen Anda

0 Responses to "PM salur RM2.71b untuk Umno Selangor"