Monday, 19 March 2012

Pemotongan subsidi ditangguhkan kerana PRU

Keputusan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan subsidi telah ditangguhkan memandangkan kos sara hidup yang meningkat, kata Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Menurut akhbar harian Cina Nanyang Siang Pau, PEMANDU, sebuah badan pemikir yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, berkata langkah itu adalah semata-mata keputusan sementara.

Sebelum ini, PEMANDU mendesak Putrajaya melaksanakan "rasionalisasi subsidi" dalam usaha mengawal kos subsidi yang terus melambung.

Putrajaya mengunjurkan bahawa kerajaan akan terpaksa membelanjakan RM33.2 bilion bagi menampung kos subsidi pada 2012, yang dikatakan punca bajet defisit.

Kali terakhir subsidi dikurangkan adalah pada Jun tahun lalu yang membabitkan gula, bahan api dan tarif elektrik.

Ketua pegawai eksekutif (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala pada 2010 memberi amaran erhujah bahawa pelan rasionalisasi subsidi adalah perlu atau Malaysia akan menjadi muflis dalam tempoh sembilan tahun, dalam cara yang sama seperti Greece.

Beliau walau bagaimanapun tahun lalu, menukar pendiriannya dan berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai status ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Ini kerana katanya, usaha itu disokong oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP) pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghasilkan hasil yang positif.

Malaysia tidak akan terjerumus ke kancah kebankrapan, meskipun kenyataan itu bertentangan dengan amarannya tahun lalu.

Sejak sembilan bulan lalu ketika Najib bersiap sedia untuk pilihan raya umum ke-13, tiada sebarang penarikan subsidi diumumkan. Sebaliknya, lebih banyak wang diagihkan kepada rakyat. -MK

Komen Anda

0 Responses to "Pemotongan subsidi ditangguhkan kerana PRU"