Thursday, 22 March 2012

Pembangunan Sabah 15 Tahun Dibelakang Malaya?

KEADAAN di Sabah tidak bertambah baik seperti yang dijangka dan dijanjikan oleh Kerajaan. Sabah kekal sebagai negeri yang termiskin di Malaysia walaupun mempunyai sumber semulajadi seperti minyak dan gas, perladangan, tanah dan hutan yang besar. Mengapa terjadi begitu?

Hanya satu penjelasan atas kesemua ini, iaitu Sabah tidak mempunyai pengurusan ekonomi yang baik. Ini telah ditunjukkan oleh bilangan pemohonan yang tertinggi di seluruh Malaysia untuk menerima wang BR1M. Ini menunjukkan bahawa Sabah mempunyai kadar kemiskinan amat tinggi dan ini adalah benar kerana mengikut rekod menunjukan bahawa 42% daripada penduduk miskin di Malaysia adalah di Sabah.

Sebenarnya, dengan kekayaan sumber semulajadi, rakyat Sabah sepatutnya boleh menikmati faedah kemakmuran dan keselesaan. Rakyat di Sabah berhijrah ke luar negeri adalah satu lagi bukti, tambahan pula sebilangan besar golongan pemuda-pemudi pergi ke negeri lain untuk mencari kerja.

Pertumbuhan ekonomi di Sabah adalah terkebelakang dengan aktiviti pembangunan yang sangat sedikit, baik di dalam industri, infrastruktur, pertanian atau sektor pelancongan. Kerajaan telah membuat pengumuman besar dan rancangan besar, tetapi adakah itu akan berlaku?

Sebenarnya Sabah kebelakangan sekurang-kurangnya 15 tahun jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Kita begitu mundur sehingga pelabur-pelabur tidak mahu datang ke Sabah untuk melabur. Sabah kaya dengan bahan mentah, Pulau Pinang mempunyai sedikit sahaja, kenapa Pulau Pinang boleh mencapai pelaburan yang tinggi dalam dua tahun?

Kita tidak punyai pertumbuhan ekonomi yang cepat tetapi kita mempunyai peningkatan di kadangan penduduk yang paling cepat. Apabila dibandingkan dengan negeri-negeri lain, kita adalah 5 kali lebih cepat dalam pertumbuhan penduduk. Mereka ini datang dari mana dan mengapa mereka boleh menjadi Rakyat Malaysia dengan begitu mudah?

Seruan mengadakan RCI untuk memeriksa asas pertumbuhan penduduk adalah bukti kukuh bahawa rakyat Sabah mahu tahu apa yang telah berlaku, tetapi sedihnya, walaupun ada RCI, tetapi masih terdapat banyak ‘Penduduk Sabah baru'.

Atas isu NFC, baguslah jika RM250 juta digunakan di Sabah, seperti di Kota Belud di mana terdapat tanah luas untuk memelihara lembu. Sekurang-kurangnya setiap keluarga di Kota Belud boleh mendapat dua ekor lembu. Ramai orang akan mendapat manfaat daripadanya dan Sabah boleh menjadi negeri pengeluar daging pada masa hadapan.

'Sumber makanan terjamin' di Malaysia akan dapat dicapai. Tetapi agak sedih melihat hingga ke hari ini, pengeluaran beras di Sabah masih tidak ada peningkatan yang ketara. Apa yang telah terjadi? Kita masih tidak dapat melihat apa-apa kesan walaupun berjuta-juta ringgit telah diperuntukkan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran sebagai yang di katakan.

Di dalam program kerajaan akan memberi bantuan tumpuan baru dan mempercepatkan penanaman semula kelapa sawit dan getah untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak, ini tidak akan berfungsi jika kerajaan tidak komited sepenuhnya. Kami mempunyai banyak tanah yang sesuai, ia hanya memerlukan bantuan wang untuk mejalankan projek-projek. Wang ini sepatutnya telah sudah lama hantar kepada Sabah dan digunakan secara luas di Sabah supaya orang Sabah dapatkan manfaat darinya.

Atas usaha meningkatkan keperluan perumahan di Sabah, tujuan Dasar Perumahan Negara ialah untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa dan mampu dipunyai masih belum menunjukkan apa-apa keberkesanan. Tetapi di Sabah, terdapat beribu-ribu unit rumah SPNB menghadapi masalah dalam aspek kewangan dan lain-lain.

Projek-projek SPNB di Sabah telah menghadapi masalah disebabkan oleh kerja tergendala dan kerja berhenti. Bagaimana dasar ini boleh dilaksanakan dengan lancar? Kita mahu melihat tindakan diambil dengan segera untuk mempercepatkan pelbagai projek-projek di Sabah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah dan bukan memberi mereka masalah yang lain lagi.

Pembangunan modal insan di Sabah masih dalam kekurangan, kerana didapati kebanyakan rakyat Sabah tidak terlatih, terutamanya yang dari daerah-daerah luar bandar. Golongan pemuda-pemudi dari kawasan luar bandar perlu diberi latihan teknikal dan vokasional. Mereka akan menjadi sumbangan tenaga kerja. Tanpa latihan ini, pemuda-pemudi di Sabah dan Sarawak, kini menjadi buruh am di Semenanjong terutamanya di KL dan Johor. Jumlah mereka dianggarkan kira-kira lebih dari 200 ribu orang. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan. Di Sabah, ramai orang asing sudah mengambil tempat kerja mereka.

Kerajaan telah mengumum tentang penjagaan kesihatan yang berkualiti, tetapi apa yang berlaku di Sabah? Mengapa kita masih mempunyai kekurangan doktor, peralatan, ambulans, ubat dan hospital? Banyak isu telah dibangkitkan dan perlu diambil tindakan. Kerajaan boleh menunggu, tetapi pesakit tidak boleh tunggu, dan terdapat bukti bahawa banyak nyawa telah hilang kerana ini.

Kecuaian hospital di Sabah telah berkali-kali dilaporkan. Adakah ini disebabkan ketiadaan kelengkapan atau standard perubatan telah menurun? 30% ambulans di Sabah ‘sakit atau berada di ICU’. Mengapa kadar kerosakan ambulans begitu tinggi? Mengapakah kita tidak boleh dapatkan lebih banyak ambulans yang baik di Sabah demi untuk menyelamatkan nyawa.

Di Labuan, hospital memerlukan peralatan baru seperti mesin imbasan CT dan peralatan baru untuk menyokong kerja-kerja doktor pakar dan tanpanya mereka tidak mampu berbuat apa-apa bila pesakit dimasukkan ke hospital.

Bilakah pula masalah tapak letak kereta di QEH1 diselesaikan dan bilakah rancangan untuk bangunan tapak letak kereta akan dibina? Cadangan untuk mengutip bayaran letak kereta adalah tidak boleh diterima buat masa sekarang.

Membasmi rasuah adalah salah suatu tindakan yang harus dijalankan dan kita dapat melihat rasuah di Sabah dan di Malaysia sedang berkembang tinggi mengikut indeks rasuah antarabangsa. Kami mahu semua kerja-kerja dan projek-projek Kerajaan ditender secara terbuka supaya mengadakan persaingan yang adil di kalangan kontraktor yang layak, dan bukan diberikan kepada syarikat-syarikat kroni.

Banyak kerja-kerja telah gagal kerana kontraktor yang tidak berkelayakan terutama jenis 'Ali Baba'. Ini telah merosakan negara kita. Mengapa kita perlu membiayai harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan sesuatu projek dijalankan? Terdapat banyak rasuah berlaku di pejabat, di Lebuh Raya dan di mana-mana sahaja. Adakah kita mahu tabiat ini menjadi amalan biasa atau budaya? Ada satu kataan “I help you, you help me”!

Infrastruktur di Sabah paling teruk sekali. Di Kota Kinabalu, banyak simpang jalan memerlukan jejambat atau 'flyovers' (DI) dan lampu isyarat, tetapi ia mengambil masa selama 5 tahun untuk membina satu Jejambat.

Manakala di Semenanjung, flyovers dibina di tempat yang tiada jalanraya dan di tempat yang tidak diguna hingga tahun 2040? Banyak jalanraya di Sabah hanya sesuai untuk lembu sahaja, di manakah ‘super highway’ (DI) yang dijanjikan? Kita di Sabah sudah tetap tidak mempunyai jalanraya yang baik, penduduk luar bandar marah betul apabila gunakan jalan-jalan yang rosak dan teruk.

Sekali lagi saya meminta kerajaan untuk berikan perhatian kepada Sabah, jika tidak, ‘simpanan tetap’ atau ‘ fix deposit’ tetap hilang.

By : HIEW KING CHEU

Komen Anda

0 Responses to "Pembangunan Sabah 15 Tahun Dibelakang Malaya?"