Tuesday, 6 March 2012

Nahas Kereta Api Terburuk Di Poland

Warsaw(Poland): Pasukan penyelamat berhempas-pulas sepanjang malam untuk mengeluarkan mereka yang terselamat daripada bangkai kereta api yang terlibat dalam satu kecelakaan kereta api di Szczekociny, Poland, kelmarin.

Kecelakaan itu menyebabkan 16 orang mati dan hampir 60 yang lain cedera, termasuk seorang yang dalam keadaan serius.

'Saya boleh sahkan 16 kematian. Kami baru sahaja menarik keluar seorang mangsa daripada bangkai kereta api tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan ada mangsa lain setelah keseluruhan bangkai diperiksa,' kata jurucakap khidmat kecemasan di Szczekociny, Encik Pawel Fratczak.

Tambahnya, operasi menyelamatkan mereka yang cedera sudah pun berakhir.

Ketika tiba di tempat kejadian, Presiden Poland, Encik Bronislaw Komorowski, berkata beliau akan mengumumkan tempoh perkabungan seluruh negara setelah operasi menyelamat selesai.

Sementara itu, Perdana Menteri Poland, Encik Donald Tusk, menyifatkan kecelakaan itu sebagai bencana paling buruk sejak 20 tahun lalu.

Selain rakyat Poland, warga Ukraine merupakan antara mereka yang tercedera, sementara warga Perancis dan Sepanyol, yang turut menaiki kereta api itu terlepas daripada sebarang kecederaan.

Sejumlah 350 penumpang berada di dalam dua kereta api yang terlibat dalam kecelakaan itu.

Menurut syarikat kereta api PKP, kedua-dua kereta api bertembung pada 9 malam (waktu tempatan) kerana kedua-duanya menggunakan landasan yang sama.

Satu kereta api sedang dalam perjalanan ke bandar selatan Krakow dari ibu kota Poland, Warsaw, sementara yang satu lagi dalam perjalanan dari Warsaw ke bandar tenggara, Przemysl.

Gambar-gambar nahas oleh saluran berita komersial, TVN24, menunjukkan bertan-tan besi remuk, dengan laporan menyatakan selain daripada kepala kedua-dua kereta api, sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir dari landasan.

'Kami terdengar bunyi yang memekakkan dan kami tercampak dari kerusi. Kami nampak mayat terhempap di bawah kerusi dan beberapa mayat dengan sebahagian badan di luar kereta api dan sebahagian lagi di dalam gerabak,' kata salah seorang penumpang yang terselamat kepada agensi berita PAP Polish.

'Ia sangat mengerikan. Skala kemusnahan sangat besar,' kata salah seorang anggota bomba yang pertama tiba di tempat kejadian.

Sejumlah 450 anggota bomba dan 100 anggota polis terlibat dalam kerja-kerja menyelamat, kata jurucakap pasukan tindakan kecemasan.

Kemalangan kereta api kelmarin merupakan nahas kereta api paling buruk di Poland sejak 1990.

Dalam nahas pada 1990, 16 orang terbunuh apabila dua kereta api bertembung di kawasan luar bandar Warsaw, Ursus. -- AFP.

Komen Anda

0 Responses to "Nahas Kereta Api Terburuk Di Poland"