Thursday, 1 March 2012

MAS & PROTON Alami Kerugian Lagi

http://3.bp.blogspot.com/-LWBd0n0QdHs/ThPQpDO19zI/AAAAAAAAA8Q/TwNB0MvRRMQ/s200/MALAYSIA+AIRLINES.gifMalaysian Airline System Bhd (MAS) mencatat kerugian bersih RM2.52 bilion hasil daripada RM13.9 bilion perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Bagi tempoh suku keempat, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya.

Beliau berkata kerugian kumpulan bagi tahun 2011 menunjukkan pentingnya syarikat penerbangan itu segera melaksanakan usaha untuk mengekang "kerugian" itu.

"Ini termasuk penempatan semula petugas, meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kawalan kos dan membuat kajian selanjutnya.

"Kami juga melaksanakan strategi pemasaran dan jualan agresif," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ahmad Jauhari berkata prestasi setahun penuh kumpulan itu terjejas teruk akibat peningkatan 21 peratus perbelanjaan berjumlah RM16.2 bilion, berbanding RM13.41 bilion pada 2010.

Beliau berkata perbelanjaan tinggi itu disebabkan oleh peningkatan 33 peratus kos bahan api sebanyak RM5.85 bilion dan peningkatan 15 peratus perbelanjaan bukan minyak sebanyak RM10.43 bilion.

Peningkatan perbelanjaan bukan bahan api itu sebahagian besarnya disebabkan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion yang dibuat pada suku keempat untuk pelupusan saham, penyerahan semula pesawat dan kekurangan pesawat kargo.

Ahmad Jauhari berkata akaun bagi tahun dalam kajian memperakui peruntukan dan kos operasi yang semakin meningkat, yang walaupun sukar, memberikan pendekatan hoslitik organisasi dan pengetahuan penuh kedudukan sebenar syarikat.

Bagi setahun penuh, Malaysia Airlines menyaksikan peningkatan kapasiti (tempat duduk setiap kilometer) sebanyak tujuh peratus, trafik penumpang meningkat lima peratus, namun faktor kerusi yang rendah berkurangan kepada 75 peratus.

Beliau berkata perolehan dan purata tambang bagi semua kelas menunjukkan peningkatan sepanjang tahun, terutama kabin depan.

Bagaimanapun terdapat penurunan keseluruhan faktor kerusi memandangkan syarikat penerbangan itu berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik.

Mengikut asas prestasi serantau, perkhidmatan domestik dan jarak pendek, perkhidmatan sesama Asean menjadi pasaran utama syarikat itu, dengan segmen berkenaan melaporkan pertumbuhan positif mengikut sukuan selain mengikut asas setahun setakat ini, katanya.

Sementara itu, bahagian kargo mengalami penurunan, selari dengan penurunan industri berkenaan di dunia.

Perolehan susut 14 peratus, kapasiti susut sembilan peratus manakala hasil pulangan dua peratus.

Ahmad Jauhari juga berkata MASkargo mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM19 juta pada 2011 berbanding keuntungan RM141 juta pada tahun sebelumnya ekoran kos bahan api yang tinggi dan kekurangan barisan pesawat A330.


Proton rugi RM84j dalam suku ketiga 2011

Kerugian pracukai syarikat pembuat kereta negara, Proton Holdings Bhd telah meningkat kepada RM84.054 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Dis, 2011 berbanding kerugian pracukai RM51.535 juta dalam tempoh yang sama 2010.

Dalam satu kenyataan, syarikat berkata prestasi yang lemah itu adalah disebabkan penurunan dalam jualan akhir tahun yang menyaksikan pelarasan jumlah pengeluaran dalam usaha untuk menguruskan kos dengan lebih baik.

Pendapatan merosot kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan untuk sembilan bulan pertama turut susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion sementara kerugian sebelum cukai ialah RM36.530 juta berbanding keuntungan pracukai RM134.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

Pengerusi kumpulan Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata keuntungan yang rendah itu dikaitkan sebahagian besarnya kepada pendapatan yang lemah yang dicatatkan daripada jualan domestik.

Bagaimananpun, kesan kurang memberangsangkan daripada pendapatan yang rendah itu telah ditampung oleh penurunan dalam overhed pembuatan dan perbelanjaan pentadbiran yang rendah yang ditanggung dalam tempoh kewangan yang sama, kata beliau.

"Selain daripada itu, keputusan itu turut terjejas oleh jumlah jualan yang rendah kereta-kereta Lotus di Eropah pada suku yang lepas," tambah beliau.

Mohd Nadzmi juga berkata yang penangguhan pelancaran model terbaru Proton turut menjejaskan unjuran jualan.

"Bagaimanapun, penangguhan itu perlu bagi memastikan semua isu dapat ditangani dan pengguna akan mendapat yang terbaik daripada model itu," katamya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia, jumlah jualan kenderaan susut 25 peratus kepada 40,948 unit pada bulan Januari daripada 54,781 unit dalam tempoh yang sama 2010 ekoran syarat kelulusan pinjaman sewa beli yang ketat, bulan kerja yang lebih singkat dan kesan daripada bencana banjir di Thailand.

Mohd Nadzmi berkata berikutan prestasi lembap industri berkenaan, Proton menjangkakan tempoh yang mencabar ke hadapan dengan jumlah jualan yang rendah selepas Bank Negara baru-baru ini mengekalkan yang ia tidak akan menyemak kembali atau menyelaraskan garis panduan pinjaman baru.

Mengenai strategi peluasannya di persada global, beliau berkata kumpulan itu pada masa ini sedang memuktamadkan rancangan untuk mengeksport unit CBU pemanduan sebelah kiri model-model yang dipasang di China ke pasaran sasaran terpilih.

Selain itu, PROTON Iran, yang merupakan anak syarikat 100 peratus kumpulan, baru-baru ini telah dilancarkan dengan objektif memenuhi permintaan selepas jualan pengguna-pengguna sedia ada, kataya.

"Langkah seterusnya ialah untuk memulakan jualan kereta di Iran sekali lagi menggunakan CBU pemanduan kiri.

Selepas kejayaan membuka bilik pameran pertama Proton Platinum di Medan, Sumatera, jenama kereta negara itu akan membuka satu lagi bilik pameran Platinum di Jakarta Barat untuk menyokong permintaan yang kian meningkat di pasaran Indonesia.

Bergerak ke hadapan, kumpulan itu akan terus meninjau lebih banyak peluang untuk meningkatkan dan menjana pendapatan daripada perniagaan lain, terutamanya menerusi perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti.

Setakat 31 Disember 2011, imbangan bank tunai Proton ialah pada RM1.18 billion.

-MK

Komen Anda

0 Responses to "MAS & PROTON Alami Kerugian Lagi"