Wednesday, 7 March 2012

Mahkamah Anak Negeri Lubuk Rasuah?

PADA 20 hingga 22 Februari 2012, Mahkamah Persekutuan Malaysia bersidang di Kota Kinabalu dan telah mendengar beberapa penghakiman daripada Mahkamah Rayuan Malaysia yang dirayu oleh pihak yang bersengketa.

Antara kes guaman yang ditetapkan untuk diadili adalah kes Antara Hon Chung Lip (diwakili Syarikat Guaman Tan Pang Tsen & Co.) dengan Kwan Ngen Wah, Kwan Ngen Chung, Kwantas Land Development Sdn Bhd.(diwakili Syarikat Guaman Cheu, Adenan & Razi); Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah Kinabatangan; Jabatan Tanah dan Ukur Dan Kerajaan Negeri Sabah (diwakili oleh Peguam Besar Sabah).

Pada awalnya, prosiding ini dimulakan oleh Hon Chung Lip menuntut daripada Kwan Ngen Wah, Kwan Ngen Chung dan 5 Yang lain beberapa relif di Mahkamah Tinggi Sandakan melalui Saman Guaman berdaftar Suit No. CSS 22 - 40 Tahun 2003.

Dalam penyata tuntutannya, Hon Chung Lip mendakwa dia adalah pembeli sah ke atas beberapa keping tanah bergeran di bawah syarat Native Title (NT). Menurut Hon Chung Lip, setelah selesai kerja-kerja pengukuran geran tanahnya yang siap tersedia untuk kutipan telah diambil, didaftar dan dipindahmilik kepada nama Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Setelah dibicara di Mahkamah Tinggi Sandakan, Pesuruhjaya Kehakiman YA Puan Yew Jin Kie menemui fakta bahawa Hon Chung Lip bukan seorang Anak Negeri walaupun dia memiliki sijil anak negeri yang didakwa olehnya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri. Atas sebab dia bukan Anak Negeri Hon Chung Lip tidak layak memiliki tanah di bawah syarat NT.

Penghakiman dibuat oleh YA Puan Yew Jin Kie itu adalah bersandarkan kepada pengakuan bersumpah dibuat sendiri oleh Hon Chung Lip di hadapan Hakim. Apabila disoal, Hon Chung Lip mengaku bahawa dia lahir di Negara China, kedua ibu bapanya adalah Warganegara China dan Sijil Anak Negeri yang digunapakai olehnya diperolehinya melalui seorang kawan dan bukan dari pengisythiaran Mahkamah Anak Negeri.

Justeru, menurut YA Puan Yew Jin Kie, walaupun Hon Chung Lip memiliki Sijil Anak Negeri yang kononnya dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri di Kota Kinabalu; tetapi disebabkan sijil tersebut bukan diberi kepadanya melalui pengisytiharaan di Mahkamah Anak Negeri, maka segala tuntutannya ke atas tanah NT berkenaan adalah tidak berasas dan gugur. Kes difailkan olehnya ditolak. Keputusan Hakim berpihak kepada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Disebabkan tidak puas hati dengan penemuan fakta dan penghakiman oleh YA Puan Yew Jin Kie itu, maka Hon Chung Lip telah failkan rayuannya di Mahkamah Rayuan Malaysia.

Setelah kesnya didengar, para Hakim di Mahkamah Rayuan Malaysia membuat keputusan oleh kerana Sijil Anak Negeri tersebut adalah dokumen daripada Mahkamah Anak Negeri, maka statusnya tidak boleh disentuh oleh Mahkamah Sivil. Kesahihannya atau statusnya hanya boleh ditentusahkan oleh Mahkamah Anak Negeri.

Lantas Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyentuh mengenai sijil Anak Negeri dalam milikan Hon Chung Lip setelah Puan Yew Jin Kie mengisythiarkannya sebagai bukan Anak Negeri dan tidak layak memiliki tanah di bawah syarat NT.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa geran yang telah dipindahmilik kepada nama Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung tidak boleh dibatal.

Sekali lagi keputusan Mahkamah memihak kepada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung dan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut Hon Chung Lip melalui Syarikat Guaman Tan Pang Tsen & Co telah dengan segera membuat permohonan kebenaran memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Permohonan yang difailkan, berdaftar sebagai Kes Mahkamah Persekutuan No BKI 08 14/2 TAHUN 2012. Sejurus kes disebut dipanggil untuk didengar pada 22 Feb 2012, Peguambela Hon Chung Lip menghujahkan bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa mendengar dan memutuskan perkara berkaitan sijil Anak Negeri Anak guamannya.

Mengulas hujahnya, YAA Hamid Embong, salah seorang daripada tiga penal Hakim yang mendengar kes berkenaan pada tarikh tersebut, dengan spontan bertanya kepada Edwin Tsen dengan soalaan berbunyi lebih kurang seperti berikut:

"Your client came to court with a Forged Native Certificate and you expect the Court to close its eyes".

Mendengar soalan YAA Hakim tersebut, Edwin Tsen cuba menyelamatkan keadaan dan mempertahankan status Sijil Anak Negeri anak guamnya dengan membuat kenyataan berbunyi lebih kurang berikut;

"But My Lord, the Respondent (Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung) are also not natives of Sabah."

Mendengar kenyataan dibuat oleh Peguam bela Hon Chung Lip itu, YAA Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dengan segera menyampuk dan berkata;

"As a Sabahan, I am ashamed to my colleague. Well Peguam Negeri what are you people going to do about this. You should act to get the government acquire back the land".

Terdapat berpuluh Peguam hadir di Mahkamah ketika dialog antara Penal Hakim Mahkamah Persekutuan ini dengan Peguam Hon Chung Lip ini berlangsung. Turut hadir adalah beberap pelajar Undang-Undang yang ingin melihat dan mengetahui tatacara persidangan di Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Apa yang menghairankan walaupun pada ketika itu terdapat sebilangan pemberita mewakili seluruh media cetak di Negeri Sabah dan dari Semenanjung, namun kisah dua pihak yang bersengketa tetapi masing-masing memiliki Sijil Anak Negeri yang diketahui umum termasuk Hakim dan Peguam yang bijaksana sebagai dokumen palsu; tidak ada satu pun berita mengenainya telah dimuat ke dada akhbar untuk rekod dan pengetahuan umum.

Saya dedahkan kisah ini kerana dua perkara. Pertama berkaitan penggunaan sijil Anak Negeri oleh kedua belah pihak yang bertelingkah; Hon Chung Lip dan Kwan Ngen bersama adiknya Kwan Ngen Chung.

Laman web Sabahkini.net telah sejak beberapa tahun lalu muat naik fakta sah dari sumber yang boleh percaya bahawa Hon Chung Lip, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung tidak ada satu titik pun darah keturunan mana-mana suku kaum anak negeri berasal dari Sabah.

Laporan Polis mengenai penipuan mereka lakukan menggunakan Sijil Anak Negeri yang diketahui adalah dokumen palsu telah juga dibuat. Lebih daripada itu Permohonan menyemak sijil mereka telahpun saya sendiri failkan ke Registri Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu sejak 30 Ogos 2007.

Namun sehingga sekarang kes ini, PDRM 'PURA PURA TIDAK TAHU'; sementara pihak Mayor Kota Kinabalu bersama rakan-rakannya terdiri daripada Kakitangan di Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri, lebih mudah kalau saya namakan 'Kumpulan Pengkhianat Anak Negeri Sabah' (KPANS) kerana sengaja tidak 'HENDAK' ambil tindakan sewajarnya.

Mayor Datuk Illiyas Ibrahim pernah cuba menetapkan tarikh mendengar penyemakan yang saya failkan, tetapi apabila saya bersama rombongan tiba di ruang pejabat tempat bicara dijadual berlangsung, yang datang untuk menjadi Hakim adalah Azmi Salim, mengakui dirinya Wakil Mayor, bersama dua kakitangan Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu yang 'Zero Knowledge' tentang Undang Undang. Orang yang saya namakan sebagai responden, iaitu Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung langsung tidak dijemput oleh Azmi Salim.

Sebagai Mantan Ketua Daerah Sandakan, saya juga arif tentang prosedur bagaimana mahu menjalankan perbicaraan di Mahkamah Anak Negeri. Kenapa Azmi Salim mahu ubah prosedur yang sedia ada di Mahkamah Anak Negeri, hanya beliau seorang sahaja yang tahu. Tetapi yang jelas berlaku pada hari tersebut adalah beberapa peristiwa 'Pelik' yang tidak pernah berlaku di mana-mana Mahkamah Anak Negeri.

Pertama sejurus perbicaraan dimulakan Azmi Salim, sebagai menjawab pertanyaan saya kenapa dalam perbicaraan ini responden tidak dijemput, berkata ini bukan perbicaraan tetapi HANYA perbincangan?

Kedua, Azmi Salim mengarahkan ahli rombongan saya yang turut hadir supaya keluar dari bilik bicara. Keputusannya ini telah ditarik balik setelah saya tunjukkan Enakmen Mahkamah Anak Negeri yang menyatakan semua prosiding Mahkamah Anak Negeri hendaklah diadakan di mahkamah terbuka dan boleh dihadiri oleh sesiapa pun.

Ketiga, Azmi Salim menjemput Ketua Daerah Kota Kinabalu, OKK William Mojimbun turut serta dalam prosiding untuk memberi ceramah tentang latar belakang pemberian Sijil Anak Negeri di Sabah dan cuba perdaya dan kelirukan saya bersama rombongan dengan memberi alasannya kenapa pendengaran ini tidak boleh di teruskan.

Menganalisa nada suara dan alasan yang diberi, semua ahli rombongan yang menyertai saya tahu dengan pasti OKK William Mojimbun pada tarikh tersebut adalah bertindak sebagai 'Jurucakap' atau 'Peguambela' kepada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Antara alasan-alasan OKK William Mojimbun cuba memperdaya hadirin adalah kes pemberian Sijil Anak Negeri kepada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung telah melebihi 90 hari lantas tidak lagi boleh didengar oleh Mahkamah Anak Negeri Daerah.

Kedua, menurut OKK William Mojimbun lagi, dia mendapat arahan daripada Juprin Adamal Wong, bertugas di Pejabat Peguam Negeri supaya menyerahkan kes yang saya failkan kepada 'Board of Officers' yang telah ditubuhkan dan ketika itu dikendalikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah, untuk penyelesaian.

Selepas menerima bantahan keras daripada saya, pendengaran kes penyemakan pada hari tersebut telah ditangguh tanpa ada penetapan tarikh baru untuk mendengar semula kes yang saya failkan.

Menyusul tidak berapa lama selepas itu, dalam satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sandakan yang turut melibatkan Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung, kakitangan daripada Pejabat Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara telah mendedahkan berbagai fakta dan eksibitkan beberapa dokumen penting mengenai latar belakang bapa kandung kepada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung bernama Kwan Ah Hee.

Berita Seterusnya Di SINI

Oleh : OKK HASSNAR HJ EBRAHIM (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "Mahkamah Anak Negeri Lubuk Rasuah?"