Tuesday, 13 March 2012

Kepala Hancur Terkena Pengadang Besi

Seorang wanita mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya hancur ditembusi pengadang besi dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuh Raya KajangSeremban (Lekas) ke arah selatan berhampiran Pajam, dekat sini, Jumaat lalu, menurut akhbar-akhbar tempatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, wanita yang dipercayai seorang warga China maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepalanya, lapor akhbar Berita Minggu Malaysia (BMM).

Rakan lelaki mangsa, Encik Thai Yin Sei, 25 tahun, yang memandu kereta tersebut dan cedera parah - juga di bahagian kepalanya - dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) bagi mendapatkan rawatan.

Pasangan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Kajang ke Seremban apabila Encik Thai dipercayai gagal mengawal kenderaannya, lantas terbabas sebelum merempuh pengadang besi di kiri lebuh raya berkenaan.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat dari Mantin dan Bangi, Selangor, mengambil masa kira-kira 20 minit memotong pengadang besi yang menembusi cermin depan kereta berkenaan hingga ke bahagian belakangnya bagi mengeluarkan mayat wanita tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Encik Abdul Manan Munaji, dipetik laporan Berita Minggu Malaysia sebagai berkata bahawa sebaik pihaknya tiba di tempat kejadian, seorang lelaki yang juga pemandu kereta itu sudah dikeluarkan dan dihantar ke HTJS.

'Penumpang kereta pula tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkannya,' katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Yusoff Awang, dipetik oleh satu laporan akhbar Mingguan Malaysia semalam sebagai mengesahkan kejadian itu.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

Komen Anda

0 Responses to "Kepala Hancur Terkena Pengadang Besi"