Saturday, 3 March 2012

Kenapa gagal?

KEGAGALAN seseorang itu bukan bermakna dia tidak mempunyai kekuatan seperti mana orang lain, tetapi di samping kekuatan terdapat kelemahannya tersendiri. Kelemahan diri itu berpunca daripada kelalaian dan kurang kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.

Malah kelemahan ini juga berpunca daripada keselesaan yang dinikmati hinggakan tidak sanggup menerima dan mengadapi ketidakselesaan yang merupakan salah satu cabaran dalam kehidupan seharian.

Kurang daya tahan

Belajar memerlukan daya ketahanan mental, fizikal dan rohani. Otak perlu berfikir untuk mencari penyelesaian dalam sesuatu permasalahan dalam pembelajaran.

Diri memerlukan disiplin yang ketat terutamanya ketika berada dalam kelas, mengulang kaji di rumah dan berinteraksi dengan rakan. Jadual waktu belajar di sekolah dan di rumah harus dipatuhi dan diamalkan secara sistematik dan berterusan.

Dalam melaksanakan segala tugasan, murid perlu berjiwa kental, sabar dan percaya pada diri sendiri di samping memiliki semangat juang yang tinggi. Jika ketiga-tiga daya tahan ini kurang atau tidak wujud, maka ia sering menjadi punca kegagalan seseorang murid.

Tiada hala tuju dalam pembelajaran

Faktor ini selalu sahaja menjadi penyebab utama kegagalan. Perkara ini berlaku tanpa kita sedari kerana ia dipengaruhi oleh persekitaran. Oleh itu tidak hairanlah kenapa terdapat murid-murid yang tidak memberi perhatian ketika guru mengajar, bising dalam kelas dan tidak merujuk pada guru jika tidak memahami sesuatu topik pembelajaran.

Terdapat juga murid yang tidak membuat kerja rumah dan macam-macam lagi kerenah murid yang menunjukkan mereka tidak mempedulikan pembelajaran. Dengan erti kata yang lain, mereka tidak mempunyai hala tuju ketika belajar.

Kurang penampilan diri

Penampilan diri merangkumi aspek fizikal seperti kekemasan diri dari segi pakaian, tutur kata dan tingkah laku yang sopan, kepetahan dalam pengucapan, kebijaksanaan dalam menyampaikan sesuatu pandangan atau pendapat dan keceriaan dalam pergaulan.

Ciri-ciri diri seumpama ini menjadikan seseorang murid itu selesa pada pandangan rakan-rakan dan guru. Murid itu sendiri akan berasa seronok kerana kebiasaannya murid-murid yang mempunyia ciri-ciri begini selalu sahaja akan terpilih dalam menganggotai barisan pemimpin seperti menjadi pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan sebagainya.

Mereka juga akan dipilih mewakili kelas atau sekolah dalam sesuatu pertandingan di peringkat daerah, negeri atau peringkat kebangsaan. Keadaan ini menjadikan seseorang murid itu lebih berpengalaman, berkeyakinan, bertolak ansur dan mampu melonjakkan diri ke arah kejayaan.

Jika murid menghadapi kekurang dalam ketiga-tiga faktor kejayaan seperti di atas, murid-murid haruslah membuat penambahbaikan dengan mengamalkannya dalam diri sendiri untuk memastikan kejayaan menjadi milik kita.

OLEH - DR. ISMAIL ZAIN

Komen Anda

0 Responses to "Kenapa gagal?"