Tuesday, 27 March 2012

Kelantan miskin kerana royalti dirompak

Lumrah. Orang kaya berkawan dengan orang kaya, orang miskin berkawan dengan orang miskin. Orang kaya tak mahu bersahabat dengan orang miskin kerana setiap kali berjumpa, diajak makan dan yang membayarnya si kaya. Tapi kalau orang miskin berkawan sesama miskin, masing-masing boleh bertolak ansur, hari ini si miskin A bayar dan besok giliran si miskin B pula yang bayar.

Miskin sesama miskin ada auranya, mudah berputik rasa “bersahabat” dari dalam hati nurani secara spontan. Hal ini terjadi disebabkan pengalaman kemiskinan itu sendiri sentiasa mendepani yang lain.

Justeru kedatangan penulis ke Sabah tanggal 18 Mac lalu disambut mesra oleh teman-teman di Negeri Bawah Bayu, kerana hati kecil masing-masing merasakan, rakyat Sabah dan Kelantan punya nasib yang sama, berstatus negeri termiskin diantara negeri-negeri dalam Malaysia.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya membuat sedikit “pembetulan” sewaktu lawatannya ke Sabah Februari lalu, dengan mengumumkan, rakayat Sabah boleh menarik nafas lega kerana Negeri Bawah Bayu itu kini tidak lagi negeri paling miskin, tempatnya diambilalih Kelantan, namun kelakar Najib itu menjadi bahan ketawa, bukan saja penduduk Sabah, bahkan penduduk Kelantan.

Atas faktor pengisytiharan Najib itu telah mendorong saya dan rombongan meninjau negeri Sabah, mahu melihat dari dekat; apakah benar penduduk negeri itu sudah memotong Kelantan satu kilometer ke depan dari jarak kemiskinan paling bawah.

Hal yang sama juga berlaku di Kelantan, ada orang Johor, Selangor, Melaka, Pulau Pinang datang ke Kelantan semata-mata mahu melihat kemiskinan negeri Serambi Mekah, adakah rakyatnya dapat makan nasi, apakah tidurnya berbumbungkan langit.Ini berlaku setelah Najib mengumumkan; Kelantan negeri termiskin di Malaysia menggantikan negeri termiskin sebelumnya iaitu Sabah.

Seminggu sebelum saya ke Sabah, rombongan penulis dari Shah Alam, Selangor, datang ke Kelantan diketuai Uthaya Sankar, ikut bersama ialah novelis terkenal yang sudah banyak menghasil novel Islami, Rohani Deraman, bloggers dan facebooker.

Sebaik saja bertemu Uthaya, pertama-tama diberitahu tujuan kedatangannya ke Kelantan ialah mahu melihat kemiskinan penduduk negeri yang diperintah PAS, kerana Najib sudah menganugerahkan gelaran baru bagi negeri pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dengan gelaran baru; negeri termiskin dalam Malaysia.

Saya bertanya Uthaya Sankar; apa yang anda lihat di sini? “Saya tak melihat kemiskinan di Kelantan, bahkan kondisi rumah warganya jauh lebih baik daripada sesetengah negeri di Malaysia. Rumah di Kelantan rata-rata dibina dengan batu, besar dan cantik. Kata Uthaya.

Seterusnya saya memberitahu rombongan dari Shah Alam itu, yang miskin di Kelantan ialah kerajaan negeri, sedang rakyatnya tidaklah semiskin seperti digambarkan. Kerajaan negeri miskin, disebabkan Pusat telah merompak royalti minyak. Lima persen hasil minyak yang diperolehi dari perut laut wilayah Kelantan tidak diberikan kepada yang berhak mengikut perjanjian yang dimeteri di zaman Perdana Menteri Malaysia kedua, Abdul Razak Hussain iaitu kerajaan Kelantan.

Pusat rompak wang royalti, kemudian dikatakan negeri Kelantan termiskin dalam Malaysia. Suatu hal tak patut diucapkan seorang perdana Menteri. Konsep federalisme harus dikekalkan. Berbeza parti yang mentadbir Kelantan bukan penghalang royalti minyak disekat. Berbeza parti adalah warna-warni sebuah demokrasi yang segar.

Berbalik kepada Sabah. “ Jangan cuba membohongi orang Sabah, kemiskinan rakyat tidak berubah, masih tetap seperti dulu” ujar Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd. Aminuddin Aling bila ditanya tentang tahap kemiskianan di Sabah.

Beliau lalu mengajak kami menaiki boat ke Pulau Gaya yang letaknya bertentangan dengan Kota Kinabalu untuk melihat sendiri sejauh mana kemiskinan menerjah kehidupan penduduknya.

Boat laju yang memuatkan lima orang termasuk Speaker DUN Kelantan, Dato’ Haji Nassaruddin Daud, Setiausaha Peribadi Menteri Besar Kelantan, Haji Wan Zulkifli Wan Muhamad dan Puji dari KTV berlepas dari pengkalan di Kota Kinabalu dan tiba di jeti masjid Arikob, Pulau Gaya kurang lebih 15 minit. Selepas menunaikan solat sunat masjid kami beramah mesra dengan warga di situ termasuk imam.

Sewaktu kami beredar dari jeti, seorang warga yang berdiri di jambatan kayu berbisik “ Kami penyokong PR” Terkejut mendengarnya, kerana selama berada di perkampungan air itu langsung tak berbicara seputar politik.

Sesiapa yang pertama kali melihat perkampungan warga yang dibina di permukaan air laut pasti terkejut. Tiada rumah sedemikian di Semenanjung. Melihat anak-anak yang kumuh tanpa baju bermain-main di serambi rumah hati jadi luluh. “Ini betul-betul miskin. Bukan cubaan…” keluh ku.

Sebaliknya, di seberang sana, Kota Kinabalu, hotel-hotel mewah empat dan lima bintang berdiri megah, siap menunggu pelancong, domestik dan luar negara. Kemudian pelancong -pelancong itu dibawa melawat Pulau Gaya untuk melihat rakyat Sabah yang dihimpit kemeskinan tegar. Rupanya kemiskinan itu menjadi produk yang menguntungkan pihak-pihak tertentu.

Jurang antara kaya dan miskin di Sabah sangat ketara. Maka benarlah seperti kata warga Sabah yang saya temui di Tawau dua hari sebelum itu “ Rakyat Sabah miskin, yang kaya pemimpinnya”.

-DD

Komen Anda

0 Responses to "Kelantan miskin kerana royalti dirompak"