Sunday, 4 March 2012

Isu Kedah : Berjayakah Misi Damai?

http://3.bp.blogspot.com/-oyTxWlSC3pk/T1AcIbmDHWI/AAAAAAAABqY/E8Std5uVKe0/s1600/kedah-1-744752.jpgPertemuan khas misi damai yang disertai barisan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Negeri bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan parti peringkat negeri Kedah sedang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.

Setakat ini, pertemuan itu sudah lebih dua jam berlangsung.

Bagaimanapun pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad malam ini.

Antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Pertemuan malam ini dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang hanya tiba di kediaman Menteri Besar sekitar jam 9.45 malam.

Sinar Harian difahamkan perbincangan hanya bermula sekitar jam 10 malam, lewat sejam berbanding maklumat sebelum ini.

Keperluan mengadakan pertemuan malam ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara, malam kelmarin susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu ini.

Sementara pemimpin negeri yang kelihatan di kediaman rasmi Menteri Besar ialah Exco Abang Ghani Ahmad dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi semasa apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco juga kelihatan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Bagaimanapun seorang lagi Exco yang turut menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak kelihatan setakat 9 malam tadi.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama. Maklumat awal mengatakan tidak akan ada sidang media apabila pertemuan khas malam ini selesai, dijangka akan berlarutan sehingga tengah malam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk.

Sinar Harian juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar.

Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat.

Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum. -SH

Komen Anda

0 Responses to "Isu Kedah : Berjayakah Misi Damai?"