Sunday, 4 March 2012

Henti Lynas Atau Himpunan Hijau 3.0

PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun, kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi. -HD

Komen Anda

0 Responses to "Henti Lynas Atau Himpunan Hijau 3.0"