Friday, 2 March 2012

Hasan Ali terus hentam Anwar

NONEBekas anggota kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menggiatkan serangannya ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan dakwaan bahawa ketua pembangkang itu memutarbelit kenyataan berhubung pendirian ke atas negara Israel.

Bekas pemimpin PAS itu berkata demikian dengan merujuk kenyataan pengerusi biro politik pergerakan Hamas, Dr Mousa Abu Marzook seperti yang disiarkan stesen TV3 semalam.

NONEDalam kenyataan itu, yang turut dipetik akhbar hari ini, Mousa menegaskan bahawa Hamas tiada kaitan dengan kenyataan Anwar yang dilaporkan menyatakan sokongan terhadap usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan Israel ketika beliau (Anwar) ditemubual oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Anwar kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataannya itu telah diputar belit dan beliau turut menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.

Kenyataannya itu tetap mengundang kecaman demi kecaman daripada pemimpin BN, bermula daripada menteri luar Datuk Seri Anifah Aman, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tidak ketinggalan, Hasan sendiri (foto) yang kini giat meraih sokongan melalui NGO pro-Melayu JATI setelah dipecat dari PAS dan majlis mesyuarat kerajaan Selangor.

Hasan berkata, kenyataan oleh Mousa itu menjelaskan bahawa Anwar memutarbelit kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini semata-mata untuk mencapai tujuan politiknya."

"(Anwar) harus berhenti menggunakan nama-nama pimpinan Palestin dan ulamak-ulamak terkemuka dunia untuk dijadikan bahan mempertahankan posisi yang beliau ambil terhadap isu ini yang ternyata tidak benar," kata Hasan lagi.

Beliau turut menyeret PAS ke kancah isu berkenaan sekali lagi dengan menuntut mursyidul am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membincangkan isu berkenaan sekali lagi.

Hasan berkata, Nik Abdul Aziz perlu berbuat demikian "supaya ahli-ahli Majlis Syura PAS dapat melihat semula perkara ini dalam perspektif yang lebih sahih."

-MK

Komen Anda

0 Responses to "Hasan Ali terus hentam Anwar"