Tuesday, 13 March 2012

GMI tidak yakin Parlimen mansuh ISA

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak yakin Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Ia berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang menyatakan undang-undang bagi mengganti ISA masih di peringkat draf di Jabatan Peguam Negara.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, kenyataan Hishammuddin itu merupakan satu lagi alasan untuk melengah-
lengahkan pemansuhan akta zalim itu.

"Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menggubal dua akta baru, maknanya sudah ada asas sebelum ini. Jadi, draf di pejabat Peguam Negara itu hanya alasan melengah-lengahkan pemansuhan ISA," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Kata Syed Ibrahim, dengan tidak memberikan jaminan tentang bila draf itu selesai, hasrat rakyat untuk melihat janji Najib ditunaikan segera Mac ini, mungkin tidak kesampaian.

Katanya, jika sidang parlimen kali ini kerajaan masih tidak dapat memansuhkan akta tersebut, kredibiliti Perdana Menteri sudah tentu tercalar di mata rakyat Malaysia kerana telah berjanji memansuhkannya.

"Najib bukan sahaja berjanji untuk memansuhkan ISA, tetapi juga berjanji melakukannya pada sidang parlimen, Mac ini. Jika ia tidak berlaku, rakyat Malaysia akan melihat bagaimana pemimpin mereka menabur janji," kata beliau sambil mengharapkan pemansuhan akta itu boleh dilakukan segera dalam bulan ini.

Mengulas lanjut berhubung draf tersebut, Syed Ibrahim berkata tiada keperluan untuk menggubal akta baru bagi menggantikan ISA kerana terdapat banyak peruntukan dalam undang-undang sedia ada untuk mengekang apa yang dikatakan sebagai kesalahan pengganas.

Tambahnya, Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada tahun 2006.

"Menurut Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003, Bab baru VIIA yang bertajuk "Kesalahan yang Berkaitan Keganasan" telah dimasukkan dan ini berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Begitu juga, menurut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006, Bab XIIA baru yang bertajuk "Kuasa menyiasat Sampingan Dalam Perhubungan Untuk Kesalahan Keganasan" telah dimasukkan dan berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007," jelas beliau lagi.

Begitu juga, tambah beliau Malaysia turut meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan anti-keganasan dalam bentuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Sehubungan itu, tegas Syed Ibrahim kerajaan tidak memerlukan dua akta baru bagi menggantikan ISA dan boleh memansuhkan akta tersebut dengan kadar segera sepertimana yang dijanjikan.

-harakahdaily

Komen Anda

0 Responses to "GMI tidak yakin Parlimen mansuh ISA"