Sunday, 25 March 2012

Gelombang hijau ke selatan

http://4.bp.blogspot.com/_CL41AJZBcWU/StTRsoXvNzI/AAAAAAAAE9g/CkEjGvg8gc8/s400/bendera+PAS.jpgCALON Pakatan Rakyat, khususnya daripada PAS, diyakini akan meraih kemenangan hebat di negeri-negeri bahagian selatan – Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara Melaka juga akan mengalami perubahan. Syarat utamanya, menurut pemerhati politik di negeri-negeri selatan itu, ialah calon Pakatan mestilah beribawa dan berpotensi untuk menang.

Menurut pemerhati itu, yang dimaksudkan dengan berwibawa ialah calon daripada golongan muda, berpendidikan tinggi, berketrampilan, dinamik, luas pergaulan dan dikenal ramai.

Sementara calon yang pernah menang mestilah diambil kira rekod perkhidmatannya, sama ada memuaskan atau sebaliknya.

Pemerhati politik itu mengakui bahawa memang sukar untuk memilih calon yang memenuhi semua kriteria seperti yang ditetapkan, namun setidaktidaknya dapat memenuhi sebahagian besar ciri-ciri tersebut.

Ini kerana, katanya, pengundi masa kini, terutama generasi baru umumnya, begitu kritikal dalam menentukan calon dan parti mana yang akan mereka pilih.

PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada PRU ke-13 akan datang. Ini hasil perkiraan mereka berdasarkan tinjauan menyeluruh daripada beberapa aspek, khususnya mood pengundi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman barubaru ini berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkannya ‘tidak pernah berlaku sebelum ini.’

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan saja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga akan menerajui negeri itu. Mazlan berkata, PAS kini memberi tumpuan kepada 17 Dun sasar.

“Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor akan jatuh kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Pada PRU ke-12 yang lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala KeADILan dan DAP masingmasing sembilan dan 12 kerusi.

Daripada jumlah ditandingi itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Tokoh muda dari Johor ini melihat ada perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan Rakyat berbanding 2008. Ini berdasarkan sambutan terhadap program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Sambutan luar biasa itu, menurut Mazlan, telah menyebabkan ada pihak 'tidak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran Pakatan.

PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan di mana ia menggariskan 15 perkara dasar. Antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

Manifesto PAS ini akan dibawa kepada mesyuarat dengan KeADILan dan DAP untuk pertimbangan, kata Mazlan.

PAS Johor akan mengenengahkan Naib Presidennya, Salahudin Ayub, anak kelahiran Tanjung Piai, Pontian Johor, sebagai calon pilihan walaupun belum lagi ditentukan kawasannya.

Bagaimanapun, kembalinya Salahuddin ke Johor memberi makna yang sangat besar dan akan merancakkan lagi PAS negeri yang kini mengatur pelbagai program berterusan untuk menarik pengundi seluruh Johor di mana sambutan rakyat kini dikatakan amat menggalakkan.

Menurut tinjauan, berdasarkan sambutan ini, Johor bukan lagi menjadi kubu kuat Umno-BN yang mereka dakwa selama ini.

Di tengah-tengah persiapan PAS Johor yang rancak itu, PAS Negeri Sembilan juga optimis bahawa tsunami politik –walaupun mungkin kecil – akan melanda selatan tanah air dalam PRU ke-13 nanti.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata, ini berikutan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.

Banyak kawasan Felda di negeri itu sudah dapat ditembusi oleh PAS/Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, peranan Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) pimpinan Mazlan Aliman begitu berkesan di mana dapat memberikan kesedaran kepada peneroka akan hak-hak mereka. Ini menyebabkan kawasan Felda bukan lagi kawasan hitam bagi Pakatan Rakyat.

Walaupun menghadapi pelbagai halangan, ugutan dan sebagainya sepanjang program yang diatur mereka, PAS-Pakatan Rakyat dapat bertahan, malah sudah ‘memutihkan’ kawasan baru yang selama ini menjadi kubu kuat Umno.

Menurut Zulkefly, tahap kesedaran di kalangan anak muda yang semakin meningkat turut memberi impak kepada Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.

"Lebih-lebih lagi, apabila terdapat anak muda yang bekerja di bandar yang menyampaikan maklumat kepada ibu bapa mereka, yang akhirnya dapat mengubah pandangan orang tua mereka," jelas Zulkefly.

Komposisi penduduk di Negeri Sembilan bercampur-campur, di antara pengundi Melayu, Cina dan India, khususnya di kawasan bandar.

Kedudukan tersebut sebenarnya, kata beliau, memberikan keselesaan kepada PAS-Pakyat , kerana masyarakat Cina dilihat menolak terus kepimpinan BN.

Kalau unjuran dibuat hari ini, tambah Zulkefly, sokongan masyarakat Cina boleh meningkat sehingga 80 peratus dan beliau yakin Negeri Sembilan boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Menurut pemerhati, sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat juga tidak menurun, malah dilihat meningkat dan keadaan itu bukan saja di Negeri Sembilan, tetapi juga di Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, seperti dikatakan tadi, faktor calon amat penting untuk jadi ukuran penting. Namun, baik di Johor, mahupun di Negeri Sembilan dan Melaka, PAS-Pakatan Rakyat mempunyai ramai calon berwibawa, terutama golongan ulama, profesional dan aktivis Pakatan yang kini mengatur pelbagai program untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Oleh Abd Shukur Harun

Komen Anda

0 Responses to "Gelombang hijau ke selatan"