Tuesday, 27 March 2012

Demo PTPTN: Pelajar belum tetap tarikh

Gabungan pertubuhan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) masih belum menetapkan tarikh bagi mengadakan perhimpunan untuk menuntut supaya pinjaman melalui Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Pengerusinya, Muhamad Safwan Anang berkata, SMM akan membincangkan mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya esok.

"Setakat ini belum ada keputusan lagi. Kita akan pastikan dulu pergerakan mana yang sudah mula membawa isu PTPTN.

"Kita tahu ada badan yang sudah lama memperjuangkan isu ini seperti daripada Parti Sosialis Malaysia. Jadi kita kena fikir sama ada kita sendiri ketuai atau barisan (pelajar) lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, SMM perlu menimbang perkara itu memandangkan badan itu juga akan melibatkan diri dalam himpunan Malaysia Bangkit pada 14 April.

Sokongan PAS

Selain itu, SMM juga perlu menyokong kumpulan pelajar pro-M untuk menuntut supaya pilihan raya kampus tahun ini tidak ditangguhkan, kata siswa Universiti Malaya itu lagi.

Muhamad Safwan berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu semalam yang berkata PAS akan menyokong perhimpunan yang akan dilakukan pelajar berkenaan.

Mohamad berkata PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang yang ditanggung pelajar dihapuskira kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Mohamad juga berkata, selain SMM, perhimpunan tersebut juga akan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Barisan baru SMM

Dalam perkembangan berkaitan, SMM juga hari ini mengumumkan barisan baru kepimpinannya.

Selain Muhamad Safwan yang menggantikan pengerusi sebelum ini, Ahmad Syukri Abd Razab, gerakan itu juga menamakan setiausaha barunya, Haziq Abdullah Abd Aziz, juga dari Universiti Malaya.

Bendahari barunya pula ialah Adam Adli Abd Halim, dari Universiti Perguruan Sultan Idris, manakala jawatan setiausaha diisi Ahmad Shukri Kamarudin dari Open Universiti Malaysia.

Pemimpin pelajar berkenaan dipilih ke jawatan tersebut dalam satu menyuarat khas SMM, Sabtu lalu. -MK

Komen Anda

0 Responses to "Demo PTPTN: Pelajar belum tetap tarikh"