Friday, 23 March 2012

Azalina Tuduh Peserta Demo Orang Asing

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang hari ini menyangkal dakwaan Ahli Parlimen BN, Datuk Azalina Othman bahawa hanya 200 penduduk menghadiri perhimpunan Ahad lalu kerana membantah rancangan Petronas membina kilang petrokimia bagi projek pembangunan hab industri minyak dan gas penapis gas di pekan itu.

Jawatankuasa penduduk juga menyangkal dakwaan Azalina mereka yang menyertai bantahan itu semuanya orang asing. Tapak terbabit terletak dalam kawasan pilihan raya Azalina.

Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut Kasran Abdullah, kajian mereka yang dijalankan November lepas di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan Petronas (Rapid).

Katanya, jawatankuasa itu telah mengumpul lebih 1,600 tandatangan responden yang menentang projek itu dan senarai tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam bentuk memorandum.

Mereka yang menandatangani bantahan tersebut terdiri daripada kira-kira 1,000 orang Cina dan 600 orang Melayu.

"Tandatangan itu dikumpul hanya daripada ketua keluarga, bukan dari semua penduduk kampung dan ia tidak termasuk anak-anak mereka," kata Kasran, yang juga seorang ahli Umno, ketika dihubungi oleh Malaysiakini. -mk

Komen Anda

0 Responses to "Azalina Tuduh Peserta Demo Orang Asing"