Thursday, 1 March 2012

Apabila rakyat mula sedar kekuatan mereka

http://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2012/02/MG_1984.jpgRakyat Malaysia pada hari ini bukan lagi seperti dulu. Dahulu mereka mudah dibuli, ditipu dan diperbodohkan.Hari ini, apabila mereka mendapat maklumat, mereka tidak akan menerima bulat-bulat. Mereka akan semak ke sumber-sumber lain seperti media-media alternatif and di Internet.

Dalam erti kata lain, pemerintah atau bakal pemerintah di Malaysia tidak akan menikmati “kuasa” seperti era-era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Di zaman Dr Mahathir, pemerintah benar-benar berkuasa. Yang melawan sudah pasti akan menerima padahnya. Lihatlah apa yang berlaku kepada ahli politik pembangkang dan pimpinan NGO dalam Operasi Lalang. Beratus terpenjara.

Di akhir kekuasaan Dr Mahathir, 10 aktivis pro Reformasi ditahan dibawah ISA.

Begitu juga dengan dua pimpinan mahasiswa yang menentang penahanan 10 aktivis Reformasi tersebut, turut ditahan dibawah ISA.

Pada ketika itu juga, media-media yang bersikap kritikal terhadap pemerintah berhadapan dengan risiko ditamatkan permit penerbitan.

Itulah yang berlaku terhadap akhbar Eksklusif yang memainkan peranan dalam memberi kesedaran terhadap pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke 10.

Malaysia hari ini

Hari ini keadaan Malaysia sudah berubah. Rakyat mahukan perubahan.

Perubahan ini bukan bermakna semata-mata menggantikan parti yang memerintah, akan tetapi yang dituntut adalah perubahan struktural.

Perubahan yang dimahukan bukanlah hanya menggantikan parti yang memerintah semata-mata akan tetapi perubahan terhadap dasar-dasar yang menindas orang ramai baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam erti kata lain, parti yang menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN) seperti Pakatan Rakyat (PR) juga tidak boleh memerintah secara sesuka hati.

Mereka harus membuktikan bahawa perubahan benar-benar sedang dilakukan.

Lihatlah bagaimana kerajaan Kedah pimpinan PR dikritik hebat apabila tidak melakukan apa-apa dalam kes lima pelajar yang dijatuhkan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh Kolej Universiti Insaniah, sebuah kolej dibawah kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus-terusan menerima kritikan oleh mahasiswa dan rakyat akibat daripada keangkuhannya itu.

Pimpinan tertinggi PR terus didesak untuk menyelesaikan isu KUIN 5 oleh kerana Buku Jingga — tawaran PR kepada rakyat Malaysia jika mereka diberi peluang untuk memerintah menjanjikan pemansuhan AUKU.

Lynas

Hari Ahad, puluhan ribu rakyat Malaysia ke Kuantan, Pahang bagi membantah kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Lynas untuk membina kilang bagi memproses nadir bumi.

Walaupun TV3 pernah menyiarkan “siaran khas” bagi membersihkan imej Lynas, rakyat Malaysia tidak lagi mudah terpengaruh dengan propaganda kerajaan itu.

Perhimpunan serentak juga diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Sabah.

Rakyat Malaysia sudah faham apa itu “people power” atau kekuatan rakyat. Setelah semua saluran digunakan dan kerajaan masih berdegil untuk terus membenarkan Lynas beroperasi, maka “jalan raya” dipilih oleh rakyat.

Adalah satu perkara yang membanggakan apabila rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama sanggup turun ke jalan raya bagi menyelamatkan bumi Malaysia.

Akhirnya “benih-benih” yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang terdahulu sudah menampakkan hasil. Rakyat Malaysia kearah masyarakat Madani atau “civil society”.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Komen Anda

0 Responses to "Apabila rakyat mula sedar kekuatan mereka"