Thursday, 2 February 2012

Rakyat Asing Miliki MyKad

KENINGAU: Beberapa perkampungan baru yang diwujudkan oleh penduduk setinggan terdiri rakyat asing memiliki Mykad di sini amat diragui kesahihannya terutama pewartaan dari kerajaan, kata Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Keningau, Paul Kadau di sini kelmarin.

“Yang menyedihkan perkampungan ini turut mendapat kemudahan daripada kerajaan yang disalurkan oleh pemimpin kerajaan.” Katanya dalam kenyataannya di sini.

Beliau ingin tahu sama ada tanah yang diduduki dan diwujudkan perkampungan baru itu milik penduduk tempatan yang disewakan dan minta pihak yang berkuasa agar dapat menyiasat perkara ini terutama status tanah tersebut.

“Amanah Keningau menerima aduan daripada penduduk Kampung Lingkudau di sini mengenai dengan tanah yang dipercayai dimiliki seorang bekas pemimpin telah diwujudkan sebagai sebuah perkampungan baru di Kampung Lingkudau yang dinamakan ‘Kampong Lingkudau Baru’,” Katanya.

Paul berkata, pemimpin berkenaan telah membenarkan penduduk yang dipercayai rakyat asing menduduki tanah tersebut yang memiliki Mykad meragukan.

“Persoalannya, adakah kampung Lingkudau Baru telah diwartakan oleh kerajaan? Sedangkan tanah tersebut termasuk dalam kampung asal, Lungkudau.” Katanya.

Beliau memberitahu, Amanah Keningau meminta kerajaan terutama Pejabat Daerah dan Jabatan Tanah dan Ukur serta pihak berkuasa yang berkenaan supaya menyiasat isu ini seperti status tanah tersebut kerana kawasan tanah difahamkan adalah kawasan pertanian dan bukan penempatan setinggan.

Menurut beliau, kampung Lingkudau adalah kampung asal dan tulen dan diwartakan oleh kerajaan dan mempunyai Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan.

“Amanah ingin bertanya apakah motif kerajaan serta pemimpin tertentu mewujudkan kampung Lingkudau Baru? Yang menghairankan pada November tahun lalu penduduk Kampung Lingkudau Baru mendapat peruntukkan daripada kerajaan untuk memasang tiang elektrik serta jalan raya sedangkan kampung tersebut masih dipersoalan kesahihannya.” Katanya.

Paul berkata, Amanah menggesa kerajaan supaya apabila mengagihkan peruntukkan wang rakyat hendaklah mengutamakan kampung-kampung yang telah diwartakan dahulu.

Katanya, amanah menganggap bahawa terdapat kampung yang dijadikan ‘fixed deposit’ dan ada kampung yang dianaktirikan terutama sekali Kampung Tuarid Liawan sejak kejadian Tropika Greg pada 1996, penduduk kampung ini belum merasai sentuhan kasih sepertimana yang dikatakan oleh Ketua Menteri.

“Bagi penduduk kampung Lingkudau amat kecewa dalam perkara ini kerana masih ramai penduduknya yang memerlukan bantuan dan perhatian dari kerajaan.” Katanya.

Komen Anda

0 Responses to "Rakyat Asing Miliki MyKad"