Sunday, 26 February 2012

Polis Mahu Pengarah NFCorp Didakwa

Polis telah memohon kepada Peguam Negara supaya pengarah Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) didakwa atas kesalahan pecah amanah selepas pemimpin pembangkang mendakwa sebahagian daripada RM250 juta pinjaman mudah kerajaan telah digunakan untuk tujuan lain., demikian lapor The Malaysian Insider.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan perkara itu petang tadi kepada beberapa organisasi media.

"Kami mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya semua pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah," katanya kepada The Malaysian Insider.

NFCorp, yang dimiliki oleh suami dan tiga anak Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Sebelum ini, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan.

“Dalam kata lain, telah berlaku kes pecah amanah. Duit tersebut, yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain.

“Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkab kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah,” jelas Nazri.

Menteri itu berkata lagi, beliau mengambil berat terhadap perkara itu dan menyatakan isu itu “tidak mati” walaupun apa pun tindakan yang diambil kerajaan, kerana rakyat ingin tahu ke mana wang itu digunakan.

“Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang itu.

“Sekiranya penyiasatan SPRM membuktikan berlakunya pelanggaran akta, mereka akan didakwa.

“Kemudian keluarkan tender dan berikan pembida tertinggi terhadap projek itu,” tambah Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.

PKR telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap penyalahgunaan dana termasuk RM62 juta untuk tanah, hartanah, dan perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan projek penternakan lembu berkenaan.

Shahrizat telah mengambil cuti tiga minggu daripada jawatan sebagai menteri bulan lepas dan kini telah kembali bertugas.

-GB / MK

Komen Anda

0 Responses to "Polis Mahu Pengarah NFCorp Didakwa"