Wednesday, 15 February 2012

Pendakwa Syarie Perak Dipenjara & Denda

Ketua Pendakwa Syarie Perak hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun dan denda RM55,000 atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh suapan sebagai dorongan untuk tidak meneruskan pertuduhan atas satu kes khalwat.

Shahrunnazri Abdul Samad, 40, didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa beliau bertugas sebagai Ketua Pendakwa Syarie yang merupakan jawatan tertinggi Bahagian Pendakwaan Syariah di negeri Perak.

Beliau dituduh di bawah seksyen 10 (a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 dan Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Bagi pertuduhan pertama, Shahrunnazri secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Mohamad Asri Bin A. Bakar sebagai dorongan supaya tidak meneruskan pertuduhan ke atasnya yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM1,000 melalui akaun simpanan Maybank supaya tidak diteruskan pertuduhan ke atasnya yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 melalui akaun simpanan Maybank supaya tidak diteruskan pertuduhan ke atas individu sama yang disyaki terlibat dalam satu kes yang sama.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa telah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 melalui akaun simpanan Maybank untuk diri tertuduh sebagai dorongan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas individu sama yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 bagi pertuduhan pertama.

Manakala untuk ketiga-tiga pertuduhan berikutnya, hakim telah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan tersebut.

Pendakwaan telah dijalankan di hadapan Hakim Tan Hui Lim, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa manakala tertuduh diwakili oleh Abdul Roni Abd Rahman & Co.

Bagi kesalahan di atas jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "Pendakwa Syarie Perak Dipenjara & Denda"