Sunday, 26 February 2012

Mahathir, Azizan dalam lampu sorot politik

http://3.bp.blogspot.com/_ecElWnnBAe8/So7snxQ_XdI/AAAAAAAAAYE/2HWMVU8op1k/s400/mb+logo%5B1%5D.jpgDua orang Kedah nampaknya menjadi sasaran kempen politik ketika ini. Pertama (Datuk) Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah dan kedua (Tun) Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri.

Azizan dilaporkan oleh media massa arus perdana dan alternatif sedang menghadapi krisis tidak percaya oleh beberapa orang Ahli Majlis Kerja Kerajaan daripada parti beliau sendiri iaitu PAS.

Dr Mahathir pula diasak oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ketua agung DAP, Lim Kit Siang, berikutan penyelesaian luar mahkamah kes saman yang membabitkan bekas pengerusi, Tajudin Ramli, dan beberapa buah syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.

Sekurang-kurangnya dua daripada Exco PAS — Phahrolrazi Mohd Nawawi dan Dr Ismail Salleh — dilaporkan tidak mahu dilantik semula ke jawatan itu “kerana kurang yakin dengan kepemimpinan Azizan.”

Azizan pula dilaporkan akan membuat kejutan pada hari Selasa 28 Februari ini setelah “mendapat mandat daripada kepemimpinan tertinggi parti bagi mengelakkan krisis politik.”

Dr Mahathir dilaporkan tidak mahu mengulas mengenai penyelesaian luar mahkamah yang membabitkan Tajudin, tetapi sekali lagi menafikan yang beliau “memaksa” Tajudin membeli MAS. Dr Mahathir mahu orang ramai membuat penilaian sendiri.

Pada 24 Februari, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Kit Siang mahu Putrajaya memulakan pengauditan penuh ke atas apa yang beliau sifatkan sebagai kerugian berbilion-bilion ringgit akibat skandal kewangan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Hakikat bahawa asakan dalam parti terhadap Azizan berlaku ketika cakap-cakap pilihan raya semakin hangat, mencetuskan andaian bahawa perebutan kuasa sedang berlaku dalam PAS Kedah.

Berbanding dengan dua orang Exco yang disebutkan itu, memanglah Azizan kurang dinamik. Azizan adalah orang lama. Gaya dan daya kepemimpinan beliau juga gaya dan daya orang lama — tidak konfrontasi dan tidak menonjol, tetapi disenangi kawan dan lawan.

Gaya dan cara beliau yang sederhana itulah menyebabkan sukar bagi parti-parti lawan, khasnya Umno, menyerang beliau secara berdepan. Tetapi ramai pula pemimpin PAS yang bimbang gaya dan daya beliau yang sederhana itu melemahkan PAS.

Biar apa pun, kalau perselisihan dalam kepemimpinan PAS Kedah itu meruncing menjadi krisis, ia, secara tidak sengaja — dengan izin “by default” — akan mencerahkan harapan Umno/BN merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Dr Mahathir pula semakin hebat dikritik oleh PR serta oleh elemen-elemen anti-BN dan anti-Kerajaan kerana beliau dilihat sebagai kembali cergas dalam politik kepartian. Malah ada di kalangan mereka yang berpendapat bahawa, dalam hal-hal tertentu, Dr Mahathir lebih berpengaruh dan berwibawa daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Jadi, adalah tugas mereka memusnahkan pengaruh dan kewibawaan beliau pada saat-saat beliau nampak begitu intim dengan Najib dan semakin cergas dalam arena politik parti.

Kalau dalam PRU 2008 kritikan terbuka beliau terhadap kepemimpinan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi “menguntungkan” pembangkang, sokongan beliau terhadap Najib mungkin “merugikan” mereka. Jadi tidak hairanlah mereka menyerang dan memburuk-burukkan beliau. Kesimpulannya, tolak campur darab dan bahagi, PRU nanti akan dimenangi oleh BN atau PR bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana lawan mereka lemah.

Seperti kata ahli politik Inggeris, Ken Livingstone, “If voting changed anything they’d abolish it.” (Kalau pilihan raya mengubah sesuatu, mereka pasti telah mengharamkannya). Wallahualam.

— kadirjasin.blogspot.com

Komen Anda

0 Responses to "Mahathir, Azizan dalam lampu sorot politik"