Wednesday, 22 February 2012

Habuan untuk Hakim dan Peguam UMNO?

Krisis perlembagaan Perak masih lagi segar di ingatan rakyat Malaysia, khususnya tuduhan bahawa permohonan Zambry Kadir dipercepatkan sementara menafikan permohonan lawan politiknya Nizar Jamaluddin pula.

Watak utama kemelut ini merupakan Hafarizam Harun, penasihat undang-undang UMNO, mewakili Zambry ketika itu, dan bekas penasihat undang-undang UMNO dan Ketua Hakim Negara ketika itu, Ahmad Zaki.

Justeru, kedua-dua individu ini mestilah berhadapan dengan perhatian umum berkenaan penglibatan mereka di dalam rampasan Perak oleh Barisan Nasional dan kontroversi terbaru melibatkan mereka di dalam pemberian konsesi RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX). Hafarizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut, iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd sementara isteri Zaki Azmi merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya. Kenyataan syarikat tersebut sendiri menyatakan mereka berhasrat menjadi "Syarikat Kejuruteraan Rel Utama di Malaysia dan Rantau ini."

Mengambilkira kontroversi penganugerahan konsesi ini, Perdana Menteri mestilah respon segera berkenaan isu-isu ini:

1. Pendirian PM berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009:

"Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan."

Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Ariffin Zakaria mestilah meminta Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini.

2. Mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail. Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?

3. Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi?

4. Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?

Di dalam smsnya kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini. Malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum. Hakikatnya, sekiranya tuduhan ini terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek ini. Terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mempunyai harapan besar terhadap konsesi generasi kedua dan ketiga memandangkan piawai-piawai baru yang dijanjikan kerajaan. Usah kita lupa rekod buruk Kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini.

Jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak "bail-out" dan penswastaan semula

Rakyat khususnya bertanya, apa sudah jadi dengan janji Program Transformasi Kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang rakyat untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dengan memastikan ketelusan di dalam pemberian kontrak? Jelas sekali, kerajaan harus membuktikan pemberian projek lebuhraya ini dibuat secara telus demi kepentingan rakyat.

Jika tidak, rakyat akan terus menolak jaminan BN dalam isu transformasi ekonomi dan membuat keputusan mereka di dalam pilihan raya akan datang.

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Komen Anda

0 Responses to "Habuan untuk Hakim dan Peguam UMNO?"