Friday, 6 January 2012

Wang Zakat: NGO Serah Surat Kepada Ketua Jabatan Audit Negara

Jingga 13 semalam menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Haji Ambrin Bin Buang berhubung Penyelewengan dan Salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Encik Shamsuddin Hussain.

Jingga 13 diketuai oleh Ketua Koordinator, Fariz Musa telah hadir ke Jabatan Audit Negara di Presint 2, ditemani oleh 10 orang ahli-ahlinya pada pukul 2.00 petang.

Ketibaan NGO tersebut disambut Pegawai Khas, Jamilah Binti Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat.

Pertemuan selama 15 minit tersebut berlangsung secara baik.

Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula'.

Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain didakwa melakukan penyelewengan wang zakat yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Jingga 13 hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu Datuk Che Mat Che Ali serta Shamsuddin Hussain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kepada seluruh umat Islam berhubung isu penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). -tvsnews

Komen Anda

0 Responses to "Wang Zakat: NGO Serah Surat Kepada Ketua Jabatan Audit Negara"