Sunday, 8 January 2012

STAR Tiada Peluang Di Sabah

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) berasaskan masyarakat Kadazandusun percaya Parti Reformasi Negeri (STAR) yang dilancarkan di Sabah semalam tidak mempunyai peluang di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun berkata parti itu, yang berpusat di Sarawak, hanya 'memeriahkan' arena politik di negeri ini berikutan dasar Malaysia yang mengamalkan demokrasi.

"Kita yakin parti itu tidak akan dapat memenangi hati rakyat di Sabah kerana parti itu juga tidak diterima di Sarawak.

"Parti itu sudah lama 'tidur' dan tentu sekali sudah banyak bermimpi. Sekarang mereka bangun dari tidur kerana mahu memberitahu apa yang telah mereka mimpi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Sabtu.

Beliau diminta mengulas penubuhan cawangan parti itu di negeri ini yang mana bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjadi pengerusinya.

Johnny, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata parti berkenaan tidak menunjukkan kesepakatan dengan golongan yang turut memperjuangkan hak Sabah dan tidak mahu bersatu dengan parti komponen BN yang mempunyai perjuangan yang sama bagi menguatkan perjuangannya.

"Jika perjuangan mereka sama dengan kebanyakan parti dalam BN, mereka hanya membuang masa dan apa yang mereka buat memang tidak berbaloi," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata kebangkitan semula STAR tidak akan memberi impak besar dalam senario politik semasa di Sabah, khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Seperti yang kita tahu, parti STAR ini adalah satu parti yang lapuk yang kini tidak lagi mendapat sokongan ramai di kalangan rakyat di Sarawak.

"Saya melihat kehadiran parti ini di Sabah hanya memenuhi tuntutan demokrasi dan tidak memberi gambaran jelas tentang agenda penubuhannya menyebabkan parti tersebut menaruh harapan dan simpati di negeri lain," katanya.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata setiap parti akan dinilai oleh rakyat berdasarkan merit masing-masing.

Beliau tidak hairan dengan tindakan Jeffrey menyertai dan membawa parti luar ke Sabah, tetapi keputusan sebenar terserah kepada pengundi.

"Sudah menjadi hasratnya (Jeffrey) untuk menjadi presiden parti dia sendiri dan saya rasa kali ini hasratnya itu sudah tercapai.

"Tetapi saya rasa kita (dalam BN) perlu mempamerkan kepada rakyat bagaimana kita bekerja dan tunjukkan prestasi kerja kita sejak bertahun-tahun," katanya. (BERNAMA)

Komen Anda

0 Responses to "STAR Tiada Peluang Di Sabah"