Monday, 2 January 2012

Rasuah : Selangor tuntut bukti dari RPK

http://hornbillunleashed.files.wordpress.com/2010/09/rpk-hardtalk.jpgKerajaan Selangor menuntut penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin mengemukakan butiran terperinci berhubung dakwaan berlakunya amalan rasuah di negeri itu melibatkan "usahawan Cina".

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, ini kerana dakwaan berlakunya pemberian "duit kopi" untuk mendapatkan projek merupakan tuduhan yang serius.

"Kami menuntut RPK (Raja Petra) untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada kerajaan negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan," katanya.

Dalam wawancara eksklusif di Utusan Malaysia semalam, Raja Petra dilaporkan mendakwa terdapat ahli perniagaan Cina di Selangor bertemunya dan memberitahu mereka masih perlu membayar bawah meja RM2 juta, seperti amalan bawah pentadbiran lalu.

"Semua kata mereka ini benar dan mereka ingin beri saya buktinya. Saya tanya mereka, apa yang mereka hendak saya lakukan? Mereka beri saya bukti itu dan saya siarkan di dalam Malaysia Today. Orang akan kata saya Trojan Horse. Orang akan kata saya sudah kena beli," beliau dipetik sebagai berkata.

Raja Petra juga dilaporkan menafikan terdapat perubahahan drastik di negeri itu dan amalan rasuah masih berada di tahap sama dan rakyat masih perlu bayar di bawah meja untuk selesaikan sesuatu hal.

Sedia bayar kos pulang

Dakwanya lagi, orang Cina di Selangor sudah tidak gembira dan tidak puas hati kerana perniagaan mereka didakwa jammed.

Dalam kenyataannya hari ini, Faekah berkata, kerajaan selangor juga bersedia membayar kos perjalanan Raja Petra pulang ke tanah air untuk mendapatkan maklumat itu.

Katanya, ia sebahagian daripada peruntukkan RM15 juta yang diluluskan dalam belanjawan negeri lalu bagi tujuan membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Sesungguhnya inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor.

"RPK (Raja Petra) tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban," katanya.

Faekah berkata, meskipun menghormati hak Raja Petra melakukan analisa politik, namun beliau musykil dan hanya peulis blog itu seorang sahaja mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

'Kekecewaan dalam buangan'

Pada masa yang sama saya, pegawai kanan Tan Sri Khalid Ibrahim Ibrahim itu berkata, rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan tersebut yang disiarkan di beberapa lagi akhbar arus perdana yang dulunya "mengkritik dan mengutuk RPK secara keras".

"Walau apa pun sebab yang membawa kepada tindakan akhbar-akhbar tersebut bertukar selera serta ghairah memberi keistimewaan kepada RPK, yang pasti RPK harus bertanggungjawab ke atas apa yang beliau telah katakan," kata Faekah.

Dengan nada sini, Faekah berkata beliau "simpati" dan "amat memahami" kekecewaan Raja Petra yang hidup "terpaksa hidup dalam buangan di tengah-tengah permasalahan peribadi".

Bagaimanapun, tambahnya, tindakan melemparkan "dakwaan liar" tidak akan membantu membawanya pulang, sebaliknya hanya mencemarkan lagi imejnya.

"Rata-rata teman reformasi yang sempat dihubungi serta rakyat biasa, telah pun membuat kesimpulan bahawa RPK begitu terdesak serta mengharapkan kebebasan dan dibenarkan pulang ke negara ini.

"Insuransnya mudah; tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor dan Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai serangan awal menghadapi pilihan raya umum," katanya. -MK

Komen Anda

0 Responses to "Rasuah : Selangor tuntut bukti dari RPK"