Tuesday, 31 January 2012

Piala Thomas, Mampukah Malaysia?

http://www.murkiester.com/Blog/wp-content/uploads/2010/05/thomas-uber-cup.jpgATAS kertas, peluang skuad negara untuk memburu slot ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 dilihat kembali terbuka.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Konfederasi Badminton Asia (BAC) semalam, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Korea Selatan dan Hong Kong menjelang kempen kelayakan di Macau bermula 13 hingga 19 Februari ini.

Meskipun peluang skuad negara untuk muncul juara Kumpulan D tampak sukar namun setidak-tidaknya slot ke peringkat suku akhir sudah boleh dianggap terjamin.

Jika layak ke peringkat suku akhir, skuad negara dijangka berdepan Indonesia yang diramal mudah untuk bergelar juara Kumpulan B apabila diundi bersama-sama India, Singapura dan Macau.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek (gambar kecil) berkata, sekiranya perlu berdepan Indonesia di peringkat suku akhir, peluang skuad negara untuk menempah slot separuh akhir tetap ada.

Katanya, peluang buat kedua-dua pasukan untuk melakarkan kemenangan adalah 50-50.

“Tidak mustahil skuad negara mampu menewaskan Indonesia. Bagi saya, kita masih boleh memberi persaingan yang sengit kepada Indonesia jika bertemu di peringkat suku akhir.

“Jika dilihat berdasarkan prestasi barisan pemain Indonesia, mereka tidaklah sekuat mana. Dalam acara perseorangan, pemain-pemain kita mampu mencatatkan kemenangan ke atas mereka.

“Dalam acara beregu pula, peluang tetap ada. Beregu Indonesia tidak mempamerkan aksi yang konsisten dalam setiap kejohanan berbanding Korea Selatan. Mereka juga bergelut dengan prestasi tidak menentu,” kata Rashid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Rashid, beliau dan barisan jurulatih yang lain akan merencanakan strategi yang tersendiri andai perlu berdepan Indonesia di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, beliau masih berharap agar skuad negara mampu bergelar juara Kumpulan D.

Jelasnya, andai skuad negara melangkah ke peringkat suku akhir selaku juara Kumpulan D, laluan untuk ke separuh akhir lebih mudah apabila perlu berdepan naib juara Kumpulan B berkemungkinan, India, Singapura dan Macau.

“Jika skuad negara bergelar juara kumpulan, ia pasti akan memberi kelebihan buat kita. Kita tidak perlu berdepan lawan yang sukar di peringkat suku akhir apabila Indonesia memang dijangka pasti bergelar juara kumpulan.

“Memang suatu yang sukar untuk kita catat kemenangan ke atas Korea Selatan tetapi saya harap pemain-pemain fokus dan cuba berikan yang terbaik untuk menang,” jelas Rashid.

China yang diletakkan sebagai pasukan pilihan pertama diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Taiwan dan Vietnam manakala Jepun, Thailand, Sri Lanka serta Kazakhstan dalam Kumpulan C.

Sementara itu, bagi saingan Piala Uber, skuad wanita negara diletakkan dalam Kumpulan W bersama-sama China dan India.

Dalam Kumpulan X, Taiwan, Singapura dan Vietnam manakala Thailand, Indonesia, Sri Lanka dan Kazakhstan Kumpulan Y.

Jepun, Hong Kong dan Macau pula diundi dalam Kumpulan Z.

Berdasarkan format kejohanan, hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan Zon Asia layak bersaing pada pusingan akhir di Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Andai China berjaya bergelar juara pada kempen kelayakan, pasukan kelima terbaik akan layak ke pusingan akhir iaitu pasukan yang berjaya bergelar juara dalam format liga sepusingan di antara empat pasukan yang gagal melepasi peringkat suku akhir.

China telah layak secara automatik atas tiket sebagai juara bertahan.

-Kosmo

Komen Anda

0 Responses to "Piala Thomas, Mampukah Malaysia?"