Thursday, 5 January 2012

Mengapa SPR Takut Syor PSC?

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya (PSC) supaya melantik Mimos Berhad bagi membersihkan dan mengesahkan senarai daftar pemilih.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu pertemuannya bersama beberapa pemimpin PKR dengan pengarah pilihan raya SPR Wilayah Persekutuan, Shafie Taib pagi ini.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu mendakwa perkara itu berdasarkan minit mesyuarat yang dihadiri Shafie dengan SPR pusat, tanpa dijelaskan alasan penolakan cadangan PSC itu atau syarikat yang menggantikan Mimos.

Nurul Izzah (kanan sekali) menyuarakan kebimbangannya berhubung pangkalan data pusat SPR dan sistem yang menghubungkan antara sistem Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR yang didakwanya "tidak terkini dan terdapat beberapa kelemahan yang perlu dirungkaikan".

"Kami dimaklumkan dalam pertemuan SPR yang terbaru, (mereka) memutuskan Mimos tidak akan digunapakai sebagai syarikat yang akan mengesahkan daftar pemilih.

"Ini amat membimbangkan. Cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR, supaya Mimos sebagai badan pengesahan (senarai nama pemilih)," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tersebut di pejabat SPR Wilayah Persekutuan pagi ini.

Dalam cadangan PSC, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya SPR melantik Mimor Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan.

Ia membabitkan isu dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih, pengundi yang berumur 90 tahun ke atas, pemilih bukan warga tempatan, ramai pemilih dalam satu alamat, dan pengundi hilang kelayakan.

Turut menghadiri pertemuan tersebut ialah naib presiden PKR Tian Chua, pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Tan Kee Kwong.

Komen Anda

0 Responses to "Mengapa SPR Takut Syor PSC?"